Siakap Keli

”Saya Nak Jumpa Mak Ayah”, ‘Jalan Pintas’ Pelajar Kecil Ini Cuba Ambil, Buka Kisah Tekanan Hidupnya Yang Mengejutkan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kemurungan dan ideasi membunuh diri bukanlah satu perkara gurauan. Pada 13 Mei lalu, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut akibat terjun dari tingkat tiga bangunan rumah kedai bagi merealisasikan hasil undian di Instagram yang majoritinya menyokong hasrat remaja tersebut untuk mati.

Jika tidak mampu berkata perkara baik, diam. Dengan empati, anda mungkin menyelamatkan satu nyawa.

Dalam Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, seramai satu pertiga daripada rakyat Malaysia dijangka mengalami kemurungan, peningkatan sebanyak 29.2 peratus berbanding pada tahun 2006.

Selain itu, World Health Organization (WHO) menganggarkan seramai 300 juta penduduk dunia berpotensi mengalami masalah tekanan mental jika ia tidak dibendung pada masa sekarang.

Gambar hiasan. (Imej: Kids Helpline Australia)

Dalam satu laporan terbaru oleh NBC News memetik hasil kajian pada 2017, sebanyak 21% peningkatan kes bunuh diri melibatkan remaja lelaki di Amerika berbanding tahun sebelumnya. Statistik ini menunjukkan bahawa tekanan mental ini tidak asing lagi dalam kalangan anak muda, tidak terkecuali negara kita.

Baru-baru ini, tular perkongsian seorang guru, AdbShukrie tentang cubaan seorang pelajar darjah satu untuk membunuh diri. Menurut guru berkenaan, ketika dia memasuki kelas tersebut sebagai guru ganti, para pelajar kecoh memberitahunya terdapat seorang rakan mereka yang ingn membunuh diri. Dia kemudiannya menghampiri pelajar tersebut yang menangis di sudut kelas, bersedia untuk mencederakan diri sendiri.

Berikut perkongsian AdbShukrie setelah memujuk murid berkenaan untuk membatalkan niatnya.

Aku tanya dia, kenapa dia buat macam tu. Bila tau kenapa sumpah aku rasa nak menangis. 

Dia kata, “Saya nak jumpa mak ayah saya, cikgu.”

Aku pelik, kenapa bunuh diri nak jumpa mak ayah. Kemudian ada seorang budak kata, “Mak ayah dia dah meninggal cikgu. Dia nak mak ayah dia ja.”

Budak tu berhenti menangis. Tapi dia pandang lantai je. Sumpah aku nak menangis masa tu juga tadi. 

Aku tahan air mata, peluk dia dan bawa dia ke meja guru. Aku taknak nanti dia nangis lagi.

Aku tanya dia duduk dengan siapa. Dia kata tinggal dengan makcik dia. Aku katakan pada dia,

“Jangan sedih, makcik kan ada. Sayang makcik kan?” Dia angguk.

Sedih betul dia kecil lagi dah kena uji macam tu. Aku hampir hilang kata-kata dalam kelas tu tadi. Doakan dia kekal kuat ya.

Jangan lupa hargai dan tunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa kalian. Ada orang yang betul-betul mahu bersama ibu bapa, tapi mereka telah pergi selamanya.

Satu lagi aku nak pesan, 

“Jangan sesekali dekati orang yang ingin membunuh diri dengan kemarahan. Aku tahu apa budak tu rasa, sebab itu aku dekati dia dengan perlahan, berbual dan cuba memahami dia. Kalau marah-marah sebab suicidal, dia akan terus tertekan dan benci untuk hidup.”

Sumber: Adbshukrie, NBC News

Amira

Love yourself.