Siakap Keli
Gambar Hiasan

´Boy Tiger´ Dipenjara Lima Tahun Dera Anak Tiri

KUALA LUMPUR,  Seorang tukang paip dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mendera anak lelaki tiri berusia tiga tahun sehingga mangsa meninggal dunia, tahun lepas.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Khai­rul Izaini Khairuddin, 32, atau dikenali sebagai ‘Boy Tiger’ dan memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 12 Nov lepas.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas kanak-kanak itu didapati melakukan penderaan terhadap mangsa di dua rumah berbeza di Lorong Permai 2, Kampung Indah Permai dan di Taman Ampang Saujana, Jalan Persiaran Saujana, di sini antara Ogos 2017 hingga November 2018.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon hukuman berat agar menjadi pengajaran kepada tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam.

Gambar Google (Hiasan)

“Pengakuan bersalah tidak melayakkan tertuduh diberi hukuman ringan kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius. Semasa kejadian, dia dalam keadaan waras dan sedar serta mengetahui mangsa adalah amanah dan tanggungjawabnya untuk menjaga dan bukan melakukan sebaliknya,” katanya dan menambah tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau iaitu mencuri, samun dan dadah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia penanggung tunggal keluarga dengan tiga anak yang masih kecil dan isteri yang tidak bekerja.

Pada 22 Nov lepas, selepas dituduh dan membuat pengakuan bersalah, mahkamah menangguhkan hukuman terhadapnya dan memerintahkan dia dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan mental selama 30 hari selepas mendakwa mempunyai masalah mental skizofrenia (gangguan) sejak dari kecil.

Bagaimanapun, laporan hospital itu menyatakan tertuduh waras dan menyedari perbuatan itu ketika kejadian. Turut hadir isterinya iaitu ibu mangsa yang menangis sepanjang prosiding kes itu.

Selain pertuduhan mendera, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian mangsa di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Ampang, pada 11 pagi, 8 November lepas. Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan. Menurut fakta kes, mangsa yang didera disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas 30 minit dihantar ke Hospital Ampang oleh tertuduh serta ibu kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Laporan rawatan mendapati terdapat banyak kesan lebam di muka, perut, dada dan bahagian belakang selain hasil X-ray yang mendapati terdapat kepatahan tulang di bahagian belakang kepala. Perbuatan tertuduh mendera mangsa juga disaksikan ibu kandungnya yang merupakan isteri tertuduh.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang