Siakap Keli

(Video) “Boleh Tembus Usus,” Ini Yang Berlaku Sekiranya Anak Anda Tertelan Bateri

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ramai ibu bapa telah sedia maklum tentang bahaya bateri jika ditelan, namun sejauh manakah tahap bahayanya kepada si anak?

Menurut National Capital Poison Center, bateri litium sebesar syiling berdiameter 20mm boleh menyebabkan masalah paling serius berhubung kes tertelan bateri. Sel ini boleh dikenali dengan kod yang dicetak di atas permukaannya iaitu; CR2032, CR2025, CR2016.

Walaupun terdapat kes di mana bateri melalui saluran usus tanpa masalah, ianya tetap boleh menyebabkan masalah besar jika tidak dibuang dengan segera. Dalam tempoh 2 jam, bateri yang ditelan boleh menyebabkan kebocoran usus dan lecur pada saluran pernafasan anak anda sehingga menyebabkan kematian.

Kes lecur teruk di saluran pernafasan dan esofagus turut dikesan dalam kalangan pesakit yang tidak menunjukkan simptom setelah menelan bateri.

Sekiranya pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom, bateri mungkin boleh dikeluarkan secara semulajadi apabila telah melepasi saluran esofagus. Namun begitu, ketiadaan simptom tidak menunjukkan ia tidak bertindak balas dengan organ dalaman.

Selain itu, ia juga boleh sebabkan komplikasi serius jika dimasukkan ke dalam telinga dan hidung.

Pada tahun lepas, seorang kanak-kanak 13 bulan menelan bateri kalkulator dan tidak menunjukkan sebarang simptom. Setelah membuat pemeriksaan di klinik dan dirujuk ke hospital, akhirnya bateri berjaya dikeluarkan melalui pembedahan. Walaupun berjaya dibuang dalam tempoh kurang 24 jam, bateri itu telah pun berkarat.

Bagi melihat tindakbalas bateri ke atas tisu badan manusia, seorang doktor telah berkongsi satu video eksperimen dengan meletakkan sebutir bateri litium ke atas sepotong daging.

Video time lapse berdurasi 30 saat itu menunjukkan bateri tersebut menembusi daging berkenaan dalam tempoh 3 jam.

Menurut Dr. Zubaidi Hj Ahmad, bateri yang tersangkut di dalam esofagus akan mengeluarkan bahan kimia elektrolit alkalin yang menyebabkan lecur hakisan kimia (chemical corrosive burn) dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Jika bateri berada jauh di dalam paru-paru, pembedahan dada mungkin perlu dilakukan.

“Jika ia tidak menyebabkan kebocoran bahan kimia, bateri ini boleh menyebabkan tekanan fizikal pada saluran esofagus, menyebabkan saluran darah yang membekalkan oksigen dan nutriisi terhalang, seterusnya menyebabkan kematian tisu-tisu saluran ini, mengakibatkan saluran esofagus ini boleh bocor,” tambahnya.

Keadaan bateri yang dikeluarkan setelah 15 jam berada dalam badan seorang kanak-kanak. (Gambar: Daily Mail)

Pada tahun 2011, seorang kanak-kanak bernama Emmett Rauch, 2 tahun telah dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 19 minggu akibat tertelan bateri litium daripada alat kawalan jauh di rumahnya. Dia terpaksa menjalani 200 kali imbasan sinar X dan 18 pembedahan di Hospital Kanak -kanak Phoenix di Arizona, Amerika Syarikat. Dia juga mengalami collapsed lung beberapa kali di samping tisu esofagusnya juga terpaksa dipotong sebanyak 4 inci akibat kematian tisu.

Dalam kejadian tersebut, ibunya tidak menyedari anaknya telah menelan bateri tersebut kerana tanda yang ditunjukkan anaknya ialah demam dan selesema sahaja. Setelah 3 hari, keadaan Emmett bertambah teruk dan mengalami kesukaran bernafas. Sel tersebut berjaya dikesan setelah doktor melakukan pemeriksaan X-ray ke atasnya dan mendapati kewujudan objek bulat pada saluran esofagusnya.

Oscar dipakaikan alat sokongan badan selama 8 bulan akibat kerosakan tulang belakang. (Gambar: Daily Mail)
Bateri yang disangka butan baju oleh doktor. (Gambar: Daily Mail

Dalam kes berlainan pada 2010, seorang bayi berusia 4 bulan bernama Oscar mengalami hakisan pada tulang belakangnya akibat menelan bateri yang disangka butang baju oleh pihak hospital. Bapanya kemudia membawanya ke hospital kembali apabila kepala Oscar seakan-akan ‘terkulai’. Akibat terlewat mengambil tindakan segera (bateri tersebut dibuang hanya setelah 15 jam), bayi tersebut mengalami kerosakan pada 3 disc tulang belakangnya dan mengalami masalah pergerakan sehingga berusia 5 tahun.

Sumber: Dr. Mike Rubin, Sam Ghali, M.D., Dr. Zubaidi Hj. Ahmad

Amira

Love yourself.