Siakap Keli
Gambar: Independent.co.uk

Ratusan Ribu Perkahwinan Bawah Umur Dicatatkan Di Amerika Syarikat Dalam Tempoh 15 Tahun

Sebelum ini, kita menyangkakan rakyat negara maju seperti Amerika Syarikat tidak mengamalkan perkahwinan dengan golongan bawah umur.

Namun, statistik sejak tahun 2000 sehingga 2015, seramai lebih 250,000 kanak-kanak dikahwinkan di Amerika Syarikat (AS) di mana 87 peratus merupakan kanak-kanak perempuan mengahwini lelaki yang lebih tua daripada mereka. Sebahagian daripada kanak-kanak ini masih belajar di peringkat sekolah rendah.

Antara kes perkahwinan bawah umur yang berlaku ialah di Tennessee, di mana 3 kanak-kanak perempuan berusia sepuluh tahun mengahwini lelaki berusia 24, 25 dan 31 tahun manakala seorang wanita berusia 27 tahun berkahwin dengan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Di Alabama, seorang remaja perempuan berumur 14 tahun berkahwin lelaki berusia 74 tahun manakala di Idaho, seorang remaja berusia 17 tahun berkahwin dengan lelaki berumur 65 tahun.

Di beberapa negeri di Amerika, pasangan pengantin mestilah berusia minimum 18 tahun, tetapi beberapa negeri lain membenarkan perkahwinan di bawah umur dengan syarat pengantin perempuan hamil dan mempunyai keizinan daripada ibu bapa dan hakim. Berdasarkan undang-undang ini, tiada had umur minimum bagi perkahwinan.

Bukan sahaja di AS, Kanada, Britain dan Norway turut membenarkan perkahwinan di bawah umur.

Gambar hiasan. (Gambar: The Monastery)

Antara mereka yang berkahwin di bawah umur merupakan mangsa pemerkosaan yang dipaksa keluarga untuk berkahwin dengan pelaku itu sendiri bagi menutupi aib.

“Berbanding menggari dan menghantar dia (pelaku) ke penjara, mereka ‘menggari’ dan ‘memenjarakan’ saya dalam perkahwinan,” kata Sheryl Johnson, salah seorang kanak-kanak yang dipaksa berkahwin pada usia 11 tahun.

Freidy Reiss, pengarah Unchained at Last, organisasi yang menentang perkahwinan bawah umur berkata,

“Dalam banyak kes, kehamilan berlaku akibat penderaan seksual dan ibubapa memaksa remaja perempuan untuk berkahwin bagi menutupi skandal tersebut. Undang-undang langsung tidak melindungi anak tersebut. Apabila pelaku berkahwin dengan mangsa, dia secara sah boleh terus melakukan penderaan ke atas mangsa.”

Dalam kes berasingan, Donna Pollard, 34 dari Kentucky dikahwinkan pada umur 16 tahun dengan seorang lelaki berusia 30 tahun. Donna yang kehilangan bapa pada usia 14 tahun bertemu dengan lelaki itu yang kemudian menekannya untuk berkahwin apabila berusia 16 tahun. Ibu Donna membenarkan perkahwinan itu.

Setelah berkahwin, si suami mendera Donna dan pernah cuba mencekik mangsa di hadapan anak mereka.

“Saya cuba berkali-kali untuk pergi dari situ, tetapi disebabkan saya belum berusia 18 tahun, saya tidak diterima untuk menyewa kerana belum mencapai usia yang dibenarkan untuk menandatangani kontrak. Saya terperangkap,” kata Donna.

Situasi yang serupa turut berlaku pada Sheryl Johnson.

Gambar hiasan. (Gambar: Q Costa Rica)

“Perkahwinan mengakhiri masa kanak-kanak saya. Saya dibuang sekolah dan pada usia 17 tahun, saya mempunyai enam anak. Disebabkan tidak dibenarkan untuk menandatangani kontrak pada usia di bawah 18 tahun, saya tidak boleh memfailkan penceraian,” tambah Sheryl.

Walaupun Sheryl, kini berusia 58 dipaksa berkahwin pada 1971 di Florida, kelompongan undang-undang membenarkan perkahwinan bawah umur masih berterusan sehingga hampir 50 tahun. Di Florida sahaja, seramai 16,000 kanak-kanak bawah umur berkahwin antara tahun 2000 hingga 2015.

Sumber: Ravishly.com, The Nation, BBC, The Guardian

Amira

Love yourself.