Siakap Keli

(Video) Detik-Detik Seluar Tersangkut Pada Eskalator, Remaja Maut Jatuh Dari Ketinggian 50 Kaki

Malang menimpa Partiv Shah, seorang remaja berusia 13 tahun apabila seluar yang dipakainya tersangkut antara belt dengan bahagian pemegang eskalator di Nucleus Mall, Ranchi, Timur India.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dilihat bermain-main di sekitar eskalator dan cuba menghentikan pergerakan susuran tangan eskalator yang bergerak dengan menekan bahagian tersebut ketika tiba-tiba seluarnya tertarik antara mekanisme tersebut.

Berikutan itu, badan remaja berkenaan turut ditarik sehingga dia hilang kawalan, namun dia sempat berpaut pada bahagian pemegang eskalator selama beberapa saat. Orang ramai dilihat menerpa ke arahnya, tetapi tidak sempat menariknya sebelum remaja itu terjatuh daripada eskalator tingkat satu pasaraya tersebut.

Mengikut laporan media antarabangsa, Partiv mengikut ibu bapa saudaranya membeli-belah di pasaraya berkenaan sebelum terpisah dengan mereka.

Mengikut wartawan tempatan, Vishvendu Jaipuriar yang mendakwa berada di tempat kejadian, remaja tersebut dilihat bermain-main dengan eskalator itu sebelum tragedi berlaku.

“Dia cuba menghentikan eskalator tersebut. Ketika itulah seluarnya tersangkut pada belt tersebut dan ditarik bersama,” katanya.

Remaja tersebut jatuh pada ketinggian 50 kaki, dari tingkat satu bangunan berkenaan. (Gambar: The Sun)

Menurutnya, sekiranya pasaraya tersebut mengikut piawai keselamatan kerajaan negara tersebut dengan meletakkan net keselamatan berhampiran eskalator, kejadian itu mungkin dapat dielakkan.

Saksi kejadian berkata darah ada di merata-rata dan remaja tersebut tidak langsung menjerit ketika menghentam lantai.

Remaja tersebut disahkan mati ketika tiba di hospital.

Menurut jurucakap polis tempatan, Sujata Kumari Veenapani, kes sedang dalam siasatan dan pihak polis akan memeriksa sekiranya pasaraya tersebut mematuhi piawai keselamatan negara itu ataupun tidak.

Sementara itu, pengurus pasaraya berkata mereka telah mematuhi standard keselamatan global dan membuat latihan keselamatan setiap bulan di samping mengarahkan pengawal keselamatan memantau orang ramai berhampiran eskalator dan dinding kaca bangunan itu.

Dalam masa yang sama, pihaknya juga meminta ibubapa dan penjaga agar lebih berhati-hati.

Sumber: TheSun.co.uk, Daily Mail

Amira

Love yourself.