Siakap Keli

RUU Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019 dilulus Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019 bertujuan menjadikan antara lain protes jalanan bukan lagi sebagai satu kesalahan, diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

RUU itu diluluskan dengan pindaan di peringkat Jawatankuasa meliputi antaranya memendekkan tempoh pengemukaan notis pemberitahuan bagi suatu perhimpunan kepada lima hari daripada cadangan asal pindaan iaitu tujuh daripada 10 hari.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata pihak berkuasa memerlukan tempoh munasabah untuk membuat persediaan sewajarnya termasuk dari segi mengatur jumlah kakitangan diperlukan bagi setiap perhimpunan.

“Sebab itulah, saya minta cadangan kita untuk tempoh dikurangkan dari 10 hari ke tujuh hari diterima, tetapi saya ambil kira, nak tunjukkan betapa kita prihatin terhadap suara rakyat menerusi ahli Parlimen, nak kata hapus semua tak boleh, nak kata 24 jam pun rasa saya tidak berapa munasabah kerana apa pun, walaupun hanya notis, tetapi kami di pihak kerajaan perlu bertanggungjawab.

“Untuk menentukan kebertanggungjawaban itu kita mesti ada persiapan, dalam keadaan macam mana sekalipun, penganjur kata mesti aman tak ada apa masalah, dalam rekod yang lepas, ada juga masalah,” katanya.

Muhyiddin berkata dengan pindaan ke atas Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 itu, segala bentuk perhimpunan dibenarkan dengan didahului notis pemberitahuan, dan sekiranya berlaku kesalahan boleh menimbulkan kekacauan, kekerasan jenayah atau menjadi tidak aman, mereka terlibat akan diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau berkata pada masa ini, hanya satu tempat diwartakan sebagai tempat berhimpun di bawah akta berkenaan, iaitu Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang, justeru kerajaan bercadang mewartakan beberapa lagi tempat termasuk Padang Merbok dan Jalan Raja di Kuala Lumpur.

“Walau tak diwartakan tempat-tempat tambahan, tak sekat daripada perhimpunan diadakan, tetapi sebaik mungkin kita nak namakan tempat lain supaya penganjur tahu tempat yang boleh digunakan dan tempoh masa (permohonan) boleh disiapkan dengan lebih singkat,” katanya.

Terdahulu, ketika bacaan kali kedua, Muhyiddin berkata RUU itu turut mencadangkan satu peruntukan baharu memberi kuasa kepada pegawai yang menjaga daerah polis mengenakan kompaun kepada mereka gagal mematuhi kehendak pengemukaan notis pemberitahuan perhimpunan atau mana-mana syarat dan sekatan dikenakan.

“Jumlah kompaun diberikan bagi kedua-dua kesalahan ini tidak melebihi RM5,000. Oleh itu, ahli Parlimen tidak perlu bimbang kerana kesalahan di bawah APA dianggap suatu kesalahan ringan dan bukanlah kesalahan jenayah menyebabkan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen atau (daripada) bertanding pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Muhyiddin berkata berdasarkan rekod, sepanjang tahun lepas, sebanyak 8,668 perhimpunan aman diadakan dan hanya satu kes dituduh di mahkamah akibat kegagalan mengemukakan notis pemberitahuan kepada polis.

Sepanjang tahun ini sehingga Mei, beliau berkata 1,592 perhimpunan aman diadakan dan tiada kes dihadapkan ke mahkamah.

Sidang dewan bersambung Isnin depan.

Sumber: Bernama

Eyen Mirlen

write deeply from your heart