Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Supt Abdullah Mohammad Piah berkata, pasangan itu, Nur Syafiqah Jaafar, 22, dan suaminya Mohd Ikraam Ab Azit, 22, yang juga pembonceng dan penunggang motosikal, terbunuh di tempat kejadian manakala pemandu Myvi, Nor Azlan Nasir, 27, cedera parah setelah keretanya terbalik dalam kemalangan pukul 6.30 pagi itu.
Difahamkan, Nur Syafiqah sedang mengandung lima bulan dan anak dalam kandungannya turut meninggal dunia.
Mayat mangsa-mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk proses bedah siasat.
Abdullah berkata, ketika kejadian pasangan itu yang dalam perjalanan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang bertembung dengann Perodua MyVi dipandu Nor Azlan dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Nur Azlan cuba memotong kenderaan lain tetapi gagal dan bertembung dengan motosikal Yamaha LC yang ditunggang Mohd Ikraam.
“Akibat pertembungan kuat itu, Nur Syafiqah tercampak sejauh tujuh meter dan janin yang dikandungnya terkeluar,” katanya ketika ditemui di Bahagian Forensik HPM di sini, hari ini.
Abdullah berkata, Mohd Ikraam berasal dari Kampung Berangan, Tumpat manakala isterinya Nur Syafiqah dari Ayer Lanas, Jeli.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, bapa Nur Syafiqah, Jaafar Ibrahim, 63, ketika ditemui berkata, Allahyarham adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik.
Katanya Allahyarham Nur Syafiqah adalah pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Kota Bharu.
“Saya mendapat tahu Allahyarham dan suaminya terbunuh setelah didatangi polis kira-kira jam 8 pagi tadi. Lebih menyedihkan saya kehilangan bukan seorang anak, tetapi juga cucu yang sedang dikandung Nur Syafiqah,” katanya sambil menambah tidak tahu anaknya sudah mengandung lima bulan.
“Kali terakhir berjumpa Allahyarham adalah ketika majlis kahwin abangnya baru-baru ini dan dia tidak menunjukkan apa-apa yang pelik,” katanya yang akan mengebumikan anaknya itu di Ayer Lanas, Jeli selepas proses bedah siasat.
Sumber: Bernama