Siakap Keli
Kredit: Sharifah Nurul Aqilah

Kalaulah Satu Daripada Sepuluh Orang Kita Lakukan Perkara Ini

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Seringkali kita mendengar kes haiwan laut yang mati akibat pencemaran disebabkan sampah yang dibuang manusia. Setiap tahun, kira-kira 1 juta burung laut dan lebih 100,000 haiwan laut maut akibat pencemaran.

Penyu tertusuk gigi garfu, bangkai burung laut yang dipenuhi plastik dan tersangkut pada jala.
Antara anjing laut yang menjadi mangsa pencemaran plastik antaranya sisa permainan ‘frisbee’.
Kredit: Newsweek

Pada April lalu, seekor paus sperma yang bunting ditemui mati di perairan Itali dengan 22 kg sampah di dalam perutnya.

Paus sperma yang ditemui mati dengan 22 kg plastik di dalam perutnya. (Kredit: Global News)

Sebulan sebelumnya, seekor paus ditemui dalam keadaan teruk apabila memuntahkan darah sebelum maut di perairan Filipina. Hasil pembedahan ke atas haiwan tersebut mendapati terdapat kira-kira 39 kilogram plastik ditemui di dalam perutnya.

Menurut laporan media antarabangsa, plastik-plastik yang memenuhi perut paus berkenaan telah menjadi sekeras bola besbol akibat terlalu padat. (Kredit: Jakarta Post)

Kasihan, kan?

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama menjaga persekitaran ini kerana kita dikurniakan akal, berbeza dengan haiwan-haiwan tersebut.

Sebagai inspirasi, kita boleh memulakan rutin random kindness dengan mengutip sampah yang kita lihat di persekitaran sepertimana dilakukan oleh seorang pengguna Facebook, Sharifah Nurul Aqilah yang membersihkan Pantai Pengkalan Maras, Terengganu bersama keluarganya.

Menurutnya, antara sampah-sampah yang banyak dijumpai adalah lampin, botol air, kotak rokok, straw, gabus bekas ikan dan lain-lain.

“Walaubagaimanapun sampah-sampah ini bukan 100 peratus dari pengunjung pantai, ia datang dari kapal-kapal di laut dan pulau-pulau sekitar yang mana sampah dihanyutkan oleh ombak dan singgah di pantai berhampiran.. kasihan pada hidupan laut..

“Mereka juga makhluk Allah yang berhak hidup aman dan sihat dalam populasi mereka tapi akhirnya pupus oleh tangan-tangan manusia yang kejam.

“Membuang sampah di merata mungkin mudah tetapi peritnya mengutip, hanya yang melaluinya yang merasa. Dengan menjadi seorang yang bertanggungjawab, mungkin akan membuatkan kita lebih memahami dan menghargai mereka yang bekerja sebagai tukang cuci dan sebagainya.”

Semoga suatu hari nanti lebih ramai yang ada kesedaran terhadap alam sekitar tak kira di pantai, di hutan, di air terjun, di laut malah di udara sekalipun, dan juga di dalam kereta (ramai lagi yang buang sampah dari dalam kereta seperti puntung rokok, tisu dan lain-lain.

Kredit: Sharifah Nurul Aqilah

Kita tidak memiliki alam ini tetapi kita meminjam dari generasi akan datang

Nurul juga berkongsi beberapa tips buat orang ramai di luar sana;

1. Sediakan bekas sampah atau guni di dalam setiap kereta. Jadi, kemana sahaja kita pergi dan nampak sampah kita boleh tolong kutip dan buang di tempat sepatutnya. Boleh jadi kan aktiviti keluarga, boleh mendidik secara tidak langsung pada anak-anak dan juga masyarakat sekeliling.

Bagus juga kita hulurkan bekas sampah dan ajak orang sekeliling tu untuk sertai.

2. Lebih baik tegur terus dari mengata dalam hati

“Lebih baik kita tegur terus orang yang buang sampah depan mata daripada kita mengata di dalam hati.. tak guna mengomel sendiri. Orang tu pun tak akan berubah jika kita berkata dengan diri sendiri.

“Kalau satu orang atau satu keluarga keluarga dari 10 orang atau keluarga yang membaca ni mengikut langkah yang sama, tak mustahil kita dapat melahirkan lebih ramai masyarakat minda kelas pertama terhadap kebersihan, sikap dan tanggung jawab.

Kredit: Sharifah Nurul Aqilah

“Kita perlu sebarkan lebih banyak perkara yang bermanfaat dalam melahirkan masyarakat yang memiliki minda dan sikap yang sihat dan positif. Kita boleh lakukannya!” Katanya mengakhiri kiriman tersebut.

*Sedangkan monyet dan anjing pun boleh dilatih, inikan pula manusia.

Sumber: Sharifah Nurul Aqilah

Amira

Love yourself.