Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: ABC/Bloomberg)

Penunjuk Perasaan Didakwa Mahu ‘Lumpuhkan’ Hong Kong, Lebih 170 Penerbangan Dibatalkan

Ketegangan yang berlaku di Hong Kong nampaknya sudah mencapai satu tahap yang baru selepas penunjuk perasaan meneruskan protes mereka buat minggu kesembilan berturut-turut.

Pada hujung minggu yang lalu, kumpulan penunjuk perasaan didakwa seolah-olah cuba untuk ‘melumpuhkan’ bandar Hong Kong dengan mengganggu perkhidmatan pengangkutan mereka.

Antara yang paling teruk terjejas ialah perkhidmatan penerbangan apabila lebih kurang 170 penerbangan masuk dan keluar Hong Kong dilaporkan terpaksa dibatalkan.

Daripada jumlah itu, 140 ialah penerbangan yang melibatkan syarikat Cathay Pacific Airways manakala bakinya adalah merupakan penerbangan di bawah syarikat Hong Kong Airlines.

Foto: Justin Soloman/ST

Selain penerbangan, penunjuk perasaan ini juga dikatakan mengganggu perjalanan perkhidmatan komuter sejak awal pagi lagi. Ini menyebabkan ramai warga Hong Kong lain terlewat atau tidak dapat ke tempat kerja.

Tunjuk perasaan ini sebenarnya bermula dari Jun lalu selepas kerajaan China dikatakan merancang untuk membenarkan ekstradisi dari Hong Kong ke tanah besar China dilaksanakan.

Ini membuatkan para penunjuk perasaan kurang bersetuju dan berasakan kedaulatan undang-undang yang mereka miliki selama ini akan tergugat.

Penunjuk perasaan menggunakan lastik bagi menyerang pihak polis. (Foto: Justin Chin/Bloomberg)

Selama ini, Hong Kong berada di bawah satu negara bersama China, namun mereka mempunyai beberapa keistimewaan seperti sistem perundangan sendiri, kebebasan bersuara yang tinggi dan sebagainya.

Pada tahun 1997, Hong Kong telah dikembalikan kepada China oleh British namun mereka mempunyai sistem yang berbeza dengan China di bawah prinsip “Satu Negara, Dua Sistem” yang dipersetujui pada 1984.

Sumber: Bloomberg

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.