Siakap Keli
Kredit: Google

“Jangan Tengok Mata Dia, Nanti Jangkit” Betul Ke Sakit Mata Boleh Berjangkit Jika Lihat Mata Pesakit? Ini Jawapannya

Sakit mata atau nama lainnya, conjunctivitis merupakan satu mimpi ngeri buat kebanyakan orang. Dengan rasa gatal, ‘panas’ di mata dan tidak selesa dengan mata berair, situasi ini pastinya mengganggu rutin harian.

Penyakit ini boleh berpunca daripada beberapa sebab antaranya jangkitan virus, bakteria dan alergi. Mereka yang dijangkiti virus atau bakteria akan diberi cuti dan dinasihatkan untuk tidak bercampur dengan orang lain kerana penyakit ini amat mudah tersebar.

Simptom-simptom

Simptom conjunctivitis merangkumi;

  • mata putih menjadi merah
  • bengkak mata
  • mata berair
  • rasa seperti ada sesuatu di dalam mata
  • gatal dan panas pada bahagian mata
  • lendir keluar dari mata
  • mata ‘berkerak’ terutama pada waktu pagi
  • kanta lekap selalu berubah-ubah, sebabkan ketidakselesaan

Walaubagaimanapun, simptom berbeza mengikut punca jangkitan. Jika ia berpunca daripada alergi dan virus, cairan dihasilkan mata berwarna jernih manakala jika ia berwarna hijau kekuningan, ini bermakna jangkitan berpunca daripada bakteria.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Virus yang menyebabkan jangkitan biasanya turut menjangkiti pernafasan. Ia sering bermula dengan sakit sebelah mata sebelum berjangkit pada mata lain dalam beberapa hari.

Jangkitan bakteria pula kadangkala melibatkan jangkitan telinga, manakala sakit mata kerana alergi seringkali menyebabkan kedua-dua mata bengkak selain mungkin mengakibatkan gatal hidung dan tekak, bersin atau asthma.

“Jangan tengok mata dia, nanti jangkit.”

Ayat ini selalu didengari semasa zaman persekolahan ketika ada rakan sekelas mengalami sakit mata. Sejauh mana kebenarannya? Adakah dengan menatap mata seseorang, penyakit itu boleh berjangkit?

Hal ini bergantung kepada punca masalah ini berlaku. Bagi sakit mata disebabkan alergik, ia tidak berjangkit kepada orang lain. Namun jangkitan virus dan bakteria boleh merebak dengan mudah melalui sentuhan dan udara.

Sebaran melalui sentuhan boleh berlaku secara langsung atau tidak langsung seperti berkongsi barangan dengan orang lain manakala sebaran udara pula berlaku melalui batuk dan bersin pesakit.

Oleh itu, pesakit dan orang sekeliling perlu menjaga kebersihan ke tahap maksimum dengan sentiasa membasuh tangan, membersihkan permukaan dan membuang tisu yang telah digunakan.

Berhubung jangkitan melalui pandangan mata, Profesor Oftalmologi Universiti Sains Malaysia, Dr. Shatriah Ismail menafikan perkara berkenaan.

“Anggapan tersebut salah dan perlu dibetulkan,” katanya.

“Jadi, kenapa perlu pakai cermin mata?”

Pemakaian cermin mata adalah sebagai perlindungan bagi pesakit kerana mata akan menjadi lebih sensitif pada cahaya selain mengelakkan daripada berlaku iritasi yang lebih teruk akibat kotoran di dalam udara.

Selain itu, pemakaian cermin mata lebih selamat dan bersih berbanding kanta lekap bagi pesakit conjunctivitis.

Sumber: Centers For Disease Control And Prevention (CDC), WebMd

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.