Siakap Keli

“Lahir Di Malaya, Mati Di Malaysia,” Ini Kisah Mejar (Bersara) Lim Thian Peng Yang Tak Pernah ‘Didendangkan’

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Laungan keramat oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu bergema kuat sekitar Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur tepat jam 12.00 tengah malam

Tanda pengisytiharan sebuah negara berdaulat dan bebas dari penjajahan itu kemudiannya dilakukan pagi berikutnya bersaksikan Raja-Raja Melayu, perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel serta 20,000 rakyat jelata. Sehingga kini, 31 Ogos kekal menjadi hari kebanggaan seluruh warga Malaysia.

Dalam mengecapi keamanan selama lebih 62 tahun ini, perlu diingat bahawa kemerdekaan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dimiliki. Banyak wang, tenaga, usaha bahkan nyawa yang telah terkorban.

Para perajurit yang sanggup berada di barisan depan semata-mata demi membuktikan kesetiaan dan cinta kepada tanah air dan salah seorang daripada adalah Mejar (Bersara) Lim Thian Peng, P.B.M, P.K. Bagi beliau, menjadi seorang tentera adalah arena yang terbaik bagi menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat dan negara.

Ya, itu pilihannya sendiri. Biarpun berbeza dengan adik-beradiknya yang rata-rata menceburi bidang perniagaan.

Andrew Lim, cucu kepada Mejar (Bersara) Lim Thian Peng berkata sewaktu dihubungi Siakap Keli.

Datuk saya, lahir di Malaya, Mati di Malaysia. Tak pernah keluar negara. Tak pernah menyertai mana-mana parti politik. Berkhidmat dalam pasukan keselamatan di pihak Tunku Abdul Rahman semasa Rundingan Baling 1955.

Beliau berkhidmat menjaga keselamatan negeri Johor semasa Singapura berpecah dari Malaysia pada tahun 1965. Turut berkhidmat untuk TYT Yang Di-Pertuan Negeri Melaka sebagai pengiring keselamatan, termasuk semasa lawatan SPB Yang Di-Pertuan Agong Ke-5 dan juga HM Queen Elizabeth 2 ke Melaka. Menentang pihak komunis semasa Darurat. Setia pada Raja dan Negara.

Bersama Yang DiPertua Negeri Melaka ke-2, Tuan Yang Terutama Abdul Malek Yusuf. 8 April 1971

Beliau juga pernah berkhidmat di utara Perak (Grik & Kroh), Johor, Melaka dan bersara di Selangor serta menyertai Wataniah (unit Territorial Army yang ditubuhkan oleh British). Malah pernah menerima anugerah P.B.M. (Pingat Bakti Masyarakat), P.K. (Pingat Kebaktian), B.E.M. (British Empire Medal).

Walaupun begitu, mungkin masih banyak yang kami belum tahu mengenainya sebab datuk saya bukan jenis yang suka bercertia tentang kerjanya di rumah. Mungkin kerana menjaga kerahsiaan tentera.

Kami hanya dapat tahu tetang kisahnya bertugas semasa Rundingan Baling pada tahun 2001 (setahun sebelum beliau meninggal). Pada ketika itu kebetulan seorang lagi Mejar bersara bertemu dengannya di rumahnya, dan di situlah baru beliau mula menceritakan kisahnya.

Datuk saya juga sempat menerima poskad dari YAB Tunku Abdul Rahman. Kami jumpa semula poskad ini ketika sedang mengemas rumah.  Beliau merupakan salah seorang dari pejuang yang berbeza latar belakang namun mempunyai impian yang sama iaitu untuk menabur bakti kepada negara.

Tambah Andrew lagi, perkongsian kisah ini sebenarnya bukan untuk membesarkan peranan datuknya. Tapi setiap pejuang pasti ada kisah mereka tersendiri.

Ada yang sumbangannya lebih besar, ada yang sebaliknya. Ada yang terkenal, ada yang tidak. Namun setiap satu pastinya memainkan peranan yang penting dalam menjaga keselamatan negara.

Kita tidak akan lupakan jasa mereka yang pernah berjuang untuk tanah merdeka ini dengan kapasiti masing-masing.

Sumber: Andrew Lim

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)