Siakap Keli

Viral Gambar Air Hujan Bertukar Hitam, Langit Siang Pula Gelap Macam Malam Akibat Asap Hutan Amazon Terbakar

Kebakaran Amazon merupakan tragedi besar pada bumi. Digelar ‘Paru-paru Bumi’, hutan hujan tropika terbesar di dunia ini membekalkan 20 peratus oksigen kepada atmosfera untuk melambatkan perubahan iklim dunia.

Menurut Institut Penyelidikan Angkasa Kebangsaan Brazil (INPE), kebakaran kali ini berlaku dalam kadar terpantas berdasarkan rekod mereka sejak tahun 2013.

Sebanyak 72,843 kebakaran di Brazil berlaku tahun ini di mana lebih 50 peratus daripadanya merupakan kebakaran di Amazon sahaja.

Hutan hujan yang menempatkan lebih 5 juta spesies flora dan fauna ini terbakar seluas lebih satu padang bola pada setiap minit dan menyebabkan asap tebal memenuhi ruang udara sehingga ke Sao Paolo yang terletak lebih 2736 kilometer dari Amazon.

Akibatnya, langit di bandar menjadi hitam walaupun pada waktu siang kerana matahari ditutupi asap dan debu tebal.

Gambar yang diambil pada jam 3.50 p.m.

European Union mengeluarkan imej satelit yang menunjukkan asap daripada kebakaran tersebar di sepanjang semenanjung Brazil ke persisiran Atlantik.

Asap memenuhi hampir separuh negara berkenaan dan menjangkiti negara bersebelahannya seperti Peru, Bolivia dan Paraguay.

Menuding jari, aktivis dilucutkan jawatan

Berikutan itu, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan Brazil saling menyalahkan sesama sendiri.

NGO menuduh presiden Brazil, Jair Bolsonaro yang lebih mengutamakan ekonomi dan kurang cakna terhadap alam sekitar dan menggalakkan pembalakan.

Semenjak menjadi Presiden Brazil pada Januari lalu, Bolsonaro berjanji untuk membangunkan ekonomi negara itu dengan potensi ekonomi Amazon. Polisi ini memberi keyakinan kepada pembalak, petani dan pelombong untuk menguasai hutan berkenaan untuk kepentingan sendiri.

Beberapa minggu lalu, pengarah INPE, Ricardo Galvão dipecat setelah berlaku perselisihan apabila pengarah tersebut menunjukkan data satelit yang membuktikan pembalakan meningkat sebanyak 88 peratus pada Jun lepas berbanding tahun lalu.

“Kerajaan sekarang memberi isyarat seolah-olah Amazon ini milik kita (bukan milik dunia), dan kita boleh melakukan apa sahaja yang kita mahu.

“Ini merupakan peluang bagi mereka yang ingin melakukan pembalakan di Amazon. Mereka mengambil kata-kata itu secara literal serta mula meneroka, menebang pokok, menggali mineral dan sebagainya,” kata Galvão.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Organisasi Observatorio do Clima (Climate Observatory) berkata kepada CNN pada bulan lepas, prinsip Bolsonaro yang mengutamakan bisnes memberi keyakinan kepada pembalak, petani dan pelombong untuk meneroka Amazon.

Sementara itu, Bolsonaro mendakwa data tersebut sebagai satu penipuan dan mengkritik amaran yang dikeluarkan agensi pembalakan atas alasan amaran tersebut boleh menjejaskan perbincangan perdagangan, lapor agensi berita tempatan, Agencia Brasil.

Bolsonaro menuduh NGO mungkin menjadi pelaku kebakaran. (Kredit: Daily Express)

Kurang dana untuk pelihara Amazon

Pengurangan bajet dan campur tangan persekutuan membuatkan golongan berkepentingan semakin mudah mengeksploitasi hutan tersebut.

Brazil memotong bajet agensi penjagaan alam sekitar sehingga $23 juta. Sejak Bolsonaro mengambil alih pemerintahan negara itu, operasi agensi terlibat dengan penjagaan alam sekitar semakin menurun. (Climate Observatory, 2019).

Rabu lepas, Bolsonaro berkata gelombang kebakaran hutan terbaru itu mungkin disebabkan oleh NGO yang cuba menarik kritikan antarabangsa terhadap pemerintahannya.

“Jenayah berlaku, kita perlu memastikan jenayah ini tidak meningkat. Kita ambil wang dari NGO.

“Sekarang ini mereka rasa sempit dengan kekurangan dana. Jadi mungkin NGO yang melakukan perbuatan jenayah ini untuk mengalihkan perhatian negatif terhadap saya dan kerajaan Brazil. Ini perang yang kita sedang hadapi,” katanya.

Pada Julai lalu, Greenpeace menggelarkan Bolsonaro dan kerajaannya sebagai ancaman terhadap keseimbangan iklim dan memberi amaran bahawa polisi Bolsonaro akan memberi kerugian besar kepada ekonomi Brazil dalam jangka masa panjang.

Aktivis alam sekitar seperti World Wildlife Fund (WWF) memberi amaran jika kebakaran tersebut tidak dihentikan, ia boleh menjadi savanna dan tidak lagi boleh didiami oleh kebanyakan hidupan asalnya.

Jika ini berlaku, ia akan menyebarkan karbon yang boleh menjadi punca utama perubahan iklim.

Air hitam, berbau asap dan berjelaga

Wartawan GloboNews, Leandro Matozo melaporkan, air hujan yang dikumpulkan di halaman belakang rumahnya berwarna hitam dan berjelaga.

“Ibu saya selalu meletakkan baldi di belakang rumah untuk mengutip air hujan bagi mencuci lantai, menyiram pokok untuk menjimatkan bil serta menjaga alam sekitar,” katanya.

“Hanya hujan hari ini menarik perhatian kami.”

Penduduk di sekitar turut berkongsi gambar hasil tadahan hujan mereka di laman Twitter.

Sumber: CNN, Globo.com, Earth & Space Science News

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.