Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pengurusan Masjid Jamek Pokok Tampang, Tasek Gelugor membuat laporan polis selepas mendapati dua lelaki memecah tabung masjid dan mencuri wang menerusi pemeriksaan rakaman CCTV di masjid itu.
“Ekoran laporan polis itu, kami berjaya menahan dua remaja lelaki masing-masing berusia 14 tahun berkenaan pada 3 petang semalam di rumah mereka sekitar Tasek Gelugor, bagi membantu siasatan kes,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya berdasarkan rakaman CCTV, kejadian itu dipercayai berlaku antara 10.55 malam hingga 11.03 malam, pada Khamis dan mereka yang menaiki motosikal skuter jenis Honda berwarna merah itu telah masuk ke dalam masjid.
Beliau berkata dua remaja itu kemudian masuk ke dalam dewan solat dan telah mengumpil peti tabung masjid di bahagian tiang masjid sebelum mencuri duit yang terdapat di dalamnya iaitu kira-kira RM30.
“Siasatan mendapati dua pelajar Tingkatan Dua itu tidak sempat menggunakan duit yang dicuri tersebut dan mereka kini direman untuk siasatan lanjut. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.