Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: The Edition)

Leher Hampir Terputus, Kanak-Kanak Maut Leher Dihiris Tali Layang-Layang Ketika Keluar Mahu Tunai Ibadah

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas separuh lehernya dipotong tali layang-layang dalam satu kejadian di India baru-baru ini.

Semasa kejadian itu berlaku, mangsa dikatakan sedang menuju ke kuil menaiki motorsikal bersama dengan bapanya.

Sukan layang-layang sememangnya popular di negara tersebut dan popularitinya memuncak di sekitar sambutan Hari Kemerdekaan mereka yang diraikan pada 15 Ogos setiap tahun.

Bagaimanapun, ia menjadi berbahaya apabila ada pemain yang menyalut tali layang-layang dengan serbuk kaca atau logam bagi memutuskan tali layang-layang pesaing. Ia dikenali sebagai ‘manjha’ di sana.

Bayangan bahaya ‘manjha’. Gambar Hiasan(Foto: Wikimedia)

Ia bukanlah kemalangan nyawa pertama yang melibatkan layang-layang berlaku di India pada bulan ini.

Pada Hari Kemerdekaan minggu lepas, seorang jurutera berusia 28 tahun dilaporkan maut, juga akibat terkena tali layang-layang dilehernya ketika sedang menunggang motorsikal.

Selain itu, seorang lagi kanak-kanak tiga tahun turut meninggal dunia selepas tali layang-layangnya yang dipercayai disalut logam dan basah tersangkut pada wayar elektrik di sebuah bandar di sana.

Penguatkuasa telah mengharamkan penggunaan, penghasilan, pemilikan dan penjualan tali layang-layang yang diubahsuai sejak tiga tahun lalu namun masih terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab ingkar akan arahan tersebut.

Menurut pihak kerajaan, sesiapa yang ditangkap melanggar larangan berkenaan akan berdepan dengan hukuman penjara lima tahun dan denda sebanyak 100 ribu Rupee(~RM5846).

Sumber: Japan Times

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi