Siakap Keli

Peralihan Ke Siaran TV Digital Dari TV Analog, Ini Kelebihan TV Digital Yang Anda Perlu Tahu

Beberapa bulan yang lalu, pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) telah mengumumkan mengenai peralihan siaran televisyen(TV) analog ke digital melalui program myFreeview.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada awal bulan ini telah mengumumkan bahawa peralihan sepenuhnya itu akan dilaksanakan secara berperingkat dari 19 Ogos hingga 30 September.

Ini bermakna, siaran TV analog akan ditutup sepenuhnya secara berperingkat sepanjang tempoh berkenaan. Ia bagi menggalakkan masyarakat untuh beralih ke siaran TV digital yang lebih baik.

Namun, sebenarnya masih ramai yang kurang memahami mengenai apa yang dimaksudkan dengan siaran TV digital ini.

Cara Mendapatkan Siaran TV Digital

Bagi menikmati siaran TV digital, pengguna perlu mendapatkan alat penerima iaitu dekoder DVB-T2 atau menggunakan TV digital(IDTV) yang dilengkapi dengan penala digital(digital tuner).

Untuk televisyen biasa, pengguna perlu menyambungkan dekoder DVB-T2 ke TV menggunakan kabel AV/HDMI dan aerial UHF pada terminal TV anda.

Langkah untuk memasang dekoder ini telah disediakan melalui Manual Pemasangan Set Dekoder DVB-T2 untuk arahan yang terperinci.

Manakala bagi IDTV pula, anda hanya perlu menyambungkan aerial UHF pada IDTV tanpa memerlukan dekoder.

Kelebihan Siaran TV Digital

Berbanding siaran TV analog, imej yang dimiliki oleh siaran TV digital adalah lebih jelas dengan resolusi tinggi(HD).

Selain itu, ia juga mempunyai audio yang berkualiti tinggi serta bakal memiliki lebih banyak perkhidmatan dan saluran TV di masa akan datang.

Sebanyak 15 saluran TV serta enam saluran radio akan tersedia. Antaranya ialah TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, OKEY, TV AlHijrah, BNC dan CJ Wow Shop selain beberapa siaran radio tempatan.

Apa yang menariknya, pengguna tidak perlu membayar yuran langganan bulanan untuk menikmati siaran TV berkualiti tinggi.

Dalam pada itu, bagi anda yang masih belum memiliki dekoder DVB-T2, anda digalakkan untuk mendapatkannya bagi membolehkan anda menerima siaran TV digital ini.

Foto: myFreeview

Pihak myFreeview juga mengingatkan orang ramai agar orang ramai mendapatkan dekoder atau televisyen dengan label DTTV Malaysia sahaja.

Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh lawati laman sesawang rasmi myFreeview menerusi pautan ini.

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi