Siakap Keli
Gambar: theAsianparent Philippines

Sangat Membimbangkan, Ini Yang Bakal Terjadi Sekiranya Hutan Hujan Amazon Musnah Sepenuhnya

Seperti sedia maklum, Hutan Hujan Amazon  yang terletak di benua Amerika Selatan sedang ‘nazak’ berikutan kebakaran yang berlaku dipercayai sejak 15 Ogos yang lalu. Pelbagai usaha sedang giat diperjalankan dalam misi menyelamatkan hutan hujan tropika yang terbesar di dunia itu.

Walau bagaimanapun, kebakaran Hutan Hujan Amazon ini sangat membimbangkan komuniti dunia berikutan terdapat pelbagai kepentingannya terhadap semua kehidupan di atas muka Bumi ini. Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana dengan kehidupan di dunia sekiranya Hutan Hujan Amazon musnah sepenuhnya akibat kebakaran tersebut?

Taburan hujan

Menurut satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2012, Amazon dikatakan bertanggungjawab untuk membawa hujan kepada kawasan sekitarnya. Namun begitu, disebabkan penebangan di hutan tersebut semakin berleluasa, ianya dapat mengurangkan taburan hujan di rantau yang luas. Situasi ini pastinya menjadi lebih parah berikutan Hutan Hujan Amazon sedang terbakar dan memusnahkan banyak pokok di situ.

Gambar: JPL-NASA

Peningkatan Kemarau

Berikutan kekurangan hujan, sudah pastinya kemarau akan melanda sehingga boleh menjejaskan semua kehidupan di atas muka Bumi ini. Kemarau yang melanda boleh menyebabkan kekurangan air untuk diminum dan urusan seharian. Tambahan lagi, sektor pertanian juga pastinya akan terjejas kerana sumber air yang terbatas. Situasi ini akan menjadi lebih parah apabila semakin banyak pokok-pokok yang mati sehingga boleh menyebabkan bekalan makanan dan minuman terjejas.

Lebih banyak gas rumah hijau

Kemusnahan pokok-pokok terutamanya di Hutan Hujan Amazon ini juga akan meningkat jumlah gas rumah hijau. Kesan daripada itu, suhu sekitar akan meningkat dan menyebabkan situasi pemanasan yang agak teruk. Kemusnahan yang di alami oleh hutan tersebut akan menyebabkan pelepasan karbon dioksida meningkat dan secara tidak langsung akan membuatkan lebih ramai orang menderita. Kualiti udara akan menjadi lebih buruk dan suhu global yang meningkat sehingga boleh menyebabkan kepanasan yang melampau.

Gambar: Sky News

Lebih banyak banjir

Walaupun sedia maklum bahawa kemusnahan Hutan Hujan Amazon boleh menyebabkan pengurangan hujan, namun ianya lebih parah sekiranya hujan lebat turun. Perkara ini kerana hujan yang turun boleh menyebabkan bencana banjir dan secara tidak langsung akan menjejaskan komuniti manusia dan ekosistem sekitar. Lambakan pokok-pokok yang telah musnah pula akan lebih merumitkan situasi ini kerana air hujan boleh mengalir dengan laju sehingga menyebabkan banjir.

Kehilangan biodiversiti

Seperti sedia maklum, hutan tersebut didiami oleh pelbagai jenis kehidupan seperti tumbuhan dan juga haiwan. Kemusnahan hutan berkenaan sudah pastinya menjejaskan kehidupan ini dan secara tidak langsung memberi kesan kepada komuniti manusia. Perkara ini lebih rumit kerana hutan ini turut didiami oleh haiwan terancam dan hampir pupus. Kemusnahan hutan ini pastinya akan turut melenyapkan kewujudan haiwan yang hampir pupus di atas Bumi ini.

Gambar: Chimu Adventures

Jejaskan bidang perubatan

Kehidupan lain seperti tumbuhan dan haiwan ternyata turut memberi manfaat kepada komuniti manusia terutamanya di dalam bidang perubatan. Perkara ini kerana dikatakan 90% daripada penyakit manusia boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang berasal dari elemen-elemen alam. Antaranya ialah pokok-pokok yang mempunyai khasiat dan bisa ular dan kebanyakannya terdapat di dalam Hutan Hujan Amazon. Namun, sekiranya hutan ini musnah, pastinya terdapat pelbagai penawar kepada penyakit tidak dapat ditemukan lagi.

Menambahkan kebakaran

Disebabkan kemusnahan pokok yang menyebabkan pengurangan hujan, kemarau yang melanda berpotensi untuk menyebabkan peningkatan kebakaran yang lebih besar dari sebelumnya. Kebakaran tersebut juga boleh berlaku dengan lebih lama kerana keadaan suhu yang tinggi. Implikasi dari kebakaran tersebut, lebih banyak karbon dioksida dilepaskan ke atmosfera dan secara tidak langsung akan meningkatkan lagi suhu.

Gambar: Daily Express

Tempat tinggal musnah

Hutan Hujan Amazon bukan sahaja didiami oleh tumbuhan dan haiwan, namun turut dihuni oleh golongan orang Asli. Kehidupan mereka di dalam hutan ini bergantung sepenuhnya terhadap hasil hutan terutamanya di dalam sumber makanan. Kemusnahan hutan ini sudah pastinya akan menyekat bekalan makanan mereka dan lebih teruk bakal menjejaskan  penempatan mereka.

Sumber: Reader’s Digest

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra