Siakap Keli

Suami Isteri Ketagih Lakukan Jenayah Curi Ditahan

Seremban : Meskipun berkali-kali ditahan polis, sepasang suami isteri masih terus melakukan aktiviti mencuri, seolah-olah ‘ketagih’ melakukan jenayah itu.

Terbaharu, suami isteri yang masing-masing berusia 39 tahun dan 35 tahun itu ditahan pada 21 Ogos lepas, dipercayai mencuri barangan jemaah di surau-surau pusat membeli-belah sekitar Seremban dan Nilai.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata pasangan suami isteri yang ditahan di sebuah rumah di Senawang, dipercayai terlibat dalam sembilan kes jenayah curi dalam bangunan melibatkan kerugian RM19,000.

”Si suami ada dua rekod jenayah lampau bersabit Seksyen 380 (Kanun Keseksaan) iaitu curi dalam bangunan dan kes narkotik pada tahun 2016 dan 2018 manakala si isteri sudah 13 kali ditangkap juga di bawah Seksyen 380 dan baru sahaja keluar penjara pada 11 Ogos tahun lalu. 

”Untuk jenayah curi dalam surau ini, modus operandi mereka iaitu suami menunggu di luar surau sambil mengawasi keadaan manakala isteri mencuri barangan jemaah ketika jemaah sedang mengambil wuduk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Said berkata barangan yang disasarkan adalah yang mudah untuk dijual semula di kedai barangan terpakai antaranya telefon bimbit, power bank dan beg tangan.

”Setakat ini, berdasarkan siasatan, kedua-dua mereka terlibat dalam sembilan kes curi dalam surau iaitu lapan kes di Seremban dan satu kes di Nilai yang dilakukan sejak dua bulan lalu,” katanya.

Menurut Mohd Said berdasarkan siasatan juga, terdapat sebuah kedai telefon bimbit di Semenyih, Selangor menjadi lokasi suspek untuk menjual barangan curi, bagaimanapun pihaknya akan turut mengesan jika terdapat kedai lain yang terlibat.

”Sesiapa yang membeli barang curi, jika disabitkan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 411 kerana memiliki barangan curi dan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai hari ini untuk disiasat bagi kesalahan jenayah yang dilakukan di daerah itu.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.