Siakap Keli

Ingat Jadi Pewangi Dan Perasa Makanan Je, Ramai Terkejut Lepas Tahu 14 Fungsi Luar Biasa Daun Pandan Kepada Kesihatan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Di dalam kebanyakan masakan tradisional masyarakat kita, daun pandan sangat popular sebagai bahan pewangi dan perasa. Namun, tahukah anda sebenarnya tumbuhan ini bukan sahaja boleh berfungsi untuk tujuan itu semata-mata, tetapi mempunyai pelbagai manfaat lain terhadap kesihatan.

Ada di antaranya tidak terjangkakan pun oleh kita akan manfaatnya kepada kesihatan. Nak tahu lebih lanjut mengenai fungsi dan kebaikan daun pandan? Jom ikuti perkongsian oleh Hello Doktor seperti di bawah. Lepas ni, dah boleh tanam pokok pandan di rumah banyak-banyak ye!

Apa itu daun pandan?

Ia adalah tumbuhan semula jadi yang berasal dari Asia Tenggara dan sangat popular di negara Malaysia, Indonesia, Thailand dan negara serantaunya. Ia kebiasaannya digunakan sebagai pembalut makanan tradisional kita iaitu nasi lemak dan ayam kapitan, lauk-pauk seperti daging, ayam atau ikan sebelum dipanggang atau distim selain juga merupakan intipati utama dalam manisan seperti kek dan pau serta dalam minuman seperti air sirap.

Persoalannya, mengapakah tumbuhan ini yang digunakan dan bukannya tumbuhan lain? Jawapannya adalah kerana rasa, bau dan aromanya yang wangi, kuat dan menyelerakan.

Apa nama lain bagi daun pandan?

Ia adalah tumbuhan yang berasal dari keluarga tumbuhan Pandanaceae dan mempunyai beberapa jenis iaitu Pandanus amaryllifoliusPandanus odoratissimusPandanus latifolius dan Pandanus veitchii. Masyarakat Melayu sudah pasti akan mengenali tumbuhan wangi ini sebagai daun pandan.

Di Malaysia, ia secara umumnya dikenali sebagai daun pandan meskipun kita hidup berbilang bangsa, begitu juga dengan Indonesia.

Apa deskripsi daun pandan?

Ia berbentuk panjang, kurus, tirus dan berwarna hijau. Ia boleh dipasarkan melalui beberapa cara iaitu, secara segar, kering atau sejuk beku. Daun dan bunganya juga biasanya hadir dalam bentuk ekstrak yang berwarna hijau terang. Untuk pengetahuan anda, daun yang telah kering agak kurang wangi berbanding daun yang masih segar. Oleh itu, ia perlu direbus untuk mengeluarkan aromanya. Daunnya yang masih segar mempunyai rasa manis seperti susu, vanila atau kacang. Daun yang telah kering pula tidak mempunyai sebarang rasa. Bunganya berwarna kuning keemasan dan mempunyai aroma yang manis, wangi dan kuat.

Disebabkan warna adalah salah satu karakteristik yang sangat penting, ia perlu dikeringkan dengan berhati-hati untuk mengekalkan warnanya yang hijau dan aromanya yang unik. Daunnya selalunya akan dipotong kepada bahagian yang tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil sehingga ia mudah dimasukkan ke dalam masakan. Daunnya yang segar biasanya akan dihancurkan atau direbus untuk mengeluarkan ekstrak yang biasa digunakan di dalam manisan.

Apakah komponen kimia yang terdapat di dalam daun pandan?

Ia mempunyai kandungan minyak pati yang rendah, termasuklah 2-acetyl-1-pyrroline yang memberi aroma di dalam beras Thai dan Basmati. Selain itu, ia juga mengandungi styrenelinalool, and β-cayophyllene. Tumbuhan wangi ini juga mengandungi pandamarine atau pandamarilactones yang memberi rasa, bau dan aroma seperti bunga.

Manfaat daun pandan terhadap kesihatan

Meskipun umum mengetahui daun pandan adalah pewangi dan perasa masakan semula jadi yang akan memberikan aroma yang menyelerakan, sebenarnya ia juga turut hadir dengan pelbagai lagi manfaat buat kesihatan tubuh badan anda.

Berikut merupakan manfaat daun pandan terhadap kesihatan kita:

1. Membantu meningkatkan selera makan

Semua individu pasti pernah mengalami kekurangan selera makan, bukan? Ini mungkin berlaku disebabkan oleh masalah dalam perut atau oral anda. Tubuh badan kita memerlukan nutrisi yang secukupnya untuk terus hidup dengan sihat dan kurang makan akan menyebabkan kita lebih terdedah kepada penyakit.

Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah kurang selera makan? Cuba makan makanan yang berasaskan daun pandan seperti teh pandan. Dikatakan, minum minuman ini boleh meningkatkan selera makan anda. Selain itu, minum minuman ini dua kali sehari dapat juga dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan perut dan oral anda.

2. Membantu melegakan pening kepala

Pening kepala sememangnya akan mengganggu aktiviti harian anda. Jika anda kerap mengalaminya, cuba masukkan tumbuhan wangi ini ke dalam makanan atau minuman anda seperti di dalam air sirap atau nasi. Ini kerana ia boleh dijadikan alternatif kepada ubat yang mungkin mempunyai kesan sampingan yang negatif kepada tubuh badan anda.

3. Membantu melegakan kesakitan tubuh badan

Tumbuhan wangi ini mengandungi laxative yang boleh berfungsi untuk melegakan kesakitan pada kepala, telinga, dada dan arthritis. Selain itu, ia juga boleh melegakan sakit perut yang boleh jadi punca infeksi atau inflamasi. Bagi para ibu pula, pengambilan ekstraknya juga boleh membantu pemulihan selepas bersalin atau semasa berpantang.

4. Membantu menghalang dan merawat sembelit

Sembelit adalah salah satu daripada masalah penghadaman. Ia akan menyebabkan individu mengalami masalah untuk membuang air besar. Jika anda mengalaminya, anda boleh cuba ambil ekstrak tumbuhan wangi ini kerana ia terbukti boleh menyahtoksik tubuh badan anda sekiranya diambil secara tetap dan kerap.

5. Membantu merawat insomnia

Insomnia adalah masalah kesihatan yang agak sukar untuk dikawal dan dirawat. Kebiasaannya, ia akan berlaku kepada individu yang tertekan dari segi mental dan fizikalnya. Jadi, tambahkan tumbuhan wangi ini ke dalam masakan anda untuk merawat insomnia anda. Ia terbukti sangat bagus untuk kesihatan kita kerana ia mengandungi sebatian alkaloid yang boleh membantu memberi kesan lega terhadap tubuh badan. Disebabkan itu, ia boleh menenangkan anda lalu memudahkan anda untuk tidur dengan lena.

6. Membantu merawat stres dan kegelisahan

Daun pandan juga sebenarnya bermanfaat untuk merawat masalah berkaitan mental iaitu stres dan kegelisahan. Individu mungkin akan mengalami kegelisahan jika sedang berdepan dengan situasi yang anda tidak suka seperti bercakap di hadapan orang ramai atau sebagainya. Dikatakan, pengambilan tumbuhan wangi ini yang telah dibrukan dan dicampurkan bersama air suam boleh membantu merawat masalah ini. Ambil ia 2 atau 3 kali sehari sehingga anda mula berasa lega.

7. Membantu mengawal hipertensi

Hipertensi adalah gangguan di dalam saluran darah yang akan menyebabkan tekanan darah tinggi dan melebihi paras normal iaitu 110 hingga 120 atau 90mmHg. Gangguan ini boleh disebabkan oleh faktor usia, pemakanan, obesiti, tekanan dan gaya hidup. Pengambilannya dikatakan mampu mengurangkan tekanan darah. Cukup sekadar jadikannya sebagai minuman atau campurkannya ke dalam makanan anda. Jika diambil secara kerap, ia boleh menghalang sakit jantung seperti coronary artery disease (CAD).

8. Membantu mengawal diabetes

Diabetes adalah penyakit yang disebabkan oleh kekurangan penghasilan insulin dalam tubuh badan yang berfungsi untuk menyerap glukosa. Ini akan menyebabkan ekstrak glukosa yang tidak dapat diserap ini terkumpul dalam saluran darah jika tidak dirawat dengan segera. Salah satu rawatan diabetes adalah menggantikan gula dengan daun pandan apabila membuat air. Tumbuhan wangi ini akan membuat minuman anda lebih segar dan lebih rasa tanpa menggunakan gula.

9. Membantu melegakan rheumatism

Rheumatism adalah penyakit yang menyebabkan kesakitan atau kebengkakan pada otot atau sendi atau inflamasi. Ia disebabkan oleh makan makanan yang tinggi kandungan asid urik seperti bayam, kerang, udang, ikan dan daging merah. Selain itu, ia juga mungkin berlaku disebabkan oleh gaya hidup seperti minum alkohol. Faktor usia juga merupakan antara salah satu sebab terjadinya penyakit ini.

Masyarakat dahulu menggunakan daun pandan untuk membantu melegakan penyakit ini. Caranya mudah sahaja, hanya ambil beberapa keratan tumbuhan wangi ini, basuh dan potong ia kepada beberapa bahagian. Kemudian, brukan dengan separuh cawan minyak kelapa yang telah dididihkan dan kacau sehingga sebati. Sebaik sahaja ia sejuk, gunakan ia sebagai sapuan untuk mengurut bahagian tubuh badan yang mengalami penyakit ini.

10. Membantu mencegah kanser

Menurut kajian yang dilakukan pada tahun 2014, ekstrak daripada akar dan daun pandan mengandungi cytotoxicantimioticantiproliferative dan apoptotic. Ini menjadikan tumbuhan wangi ini mempunyai potensi untuk digunakan sebagai terapi kanser, sesuai dengan penggunaannya secara tradisi buat masa yang sangat lama. Jadi, ia mungkin membantu dala mencegah kanser kerana ia sangat efektif dalam melawan kanser.

11. Membantu mengurangkan demam dan selesema

Demam dan selesema adalah petanda tubuh badan kita sedang melawan sesuatu infeksi. Individu yang mengalami penyakit ini biasanya juga akan mengalami pertambahan suhu badan yang langsung akan mengakibatkan ketidakselasaan. Untuk mengurangkan demam ini, anda boleh menggunakan khasiat tumbuhan wangi ini. Caranya, hanya rebuskannya di dalam air untuk mendapatkan ekstraknya kemudian meminumnya. Jika diambil secara kerap, ia mungkin akan membantu anda merendahkan suhu tubuh badan anda.

12. Membantu menyembuhkan masalah kulit

Terdapat banyak masalah kulit yang individu mungkin alami, antaranya adalah kulit berpanau atau kulit terbakar. Tinea versicolor adalah infeksi kulat kepada kulit atau bahasa biasanya, panau. Kondisi ini akan menyebabkan kulit anda berubah warna menjadi tidak rata dan mungkin akan menyebabkan kegatalan. Begitu juga dengan masalah kulit terbakar, yang biasa dialami ketika berada di musim panas. Dikatakan daun pandan boleh membantu anda menyembuhkannya.

Caranya, hanya rebus air bersama tumbuhan wangi ini dan campurkannya dengan garam. Kemudian, minum atau sapukannya pada bahagian kulit yang dijangkiti. Metode ini perlu dilakukan berulang kali bagi mempercepatkan lagi proses pemulihan.

Sesuai dengan penggunaannya sebagai penghalau serangga. Daun pandan juga sebenarnya boleh menjadi penawar kepada gigitan serangga seperti nyamuk yang terkenal sebagai pembawa penyakit berbahaya seperti denggi, malaria atau aedes. Jadi, sapukan sahaja campuran tumbuhan wangi ini yang telah direbus bersama air untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk yang berbahaya.

13. Membantu menjaga kesihatan rambut

Mungkin ada yang sudah tahu dan mungkin juga ada yang belum tahu bahawa tumbuhan wangi ini adalah sangat berkhasiat untuk rambut. Antara kebaikannya adalah ia membantu mengawal masalah kelemumur. Ia kebiasaannya disebabkan oleh kematian sel pada kulit kepala selain masalah minyak, stres, ketidaksesuaian produk dan juga terlalu kerap mencuci rambut. Jika anda ada masalah ini, anda boleh cuba menggunakan tumbuhan wangi ini.

Selain itu, ia juga boleh membantu menguatkan rambut agar ia tidak lagi mudah gugur. Rambut gugur adalah disebabkan pelbagai faktor seperti tekanan psikologi, kesan sampingan ubatan atau malnutrisi. Begitu juga dengan masalah rambut beruban. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan masalah ini antaranya adalah persekitaran. Pendek kata, tumbuhan wangi ini adalah sangat sesuai digunakan oleh individu yang mempunyai masalah rambut.

Menurut VegaFruit, daun pandan adalah sangat bagus untuk kulit kepala serta rambut. Rawatan untuknya melibatkan penggunaan sabun atau syampu yang berasaskan tumbuhan wangi ini. Sebaiknya, anda sendiri boleh membuatnya dengan menggunakan daun pandan yang telah dikeringkan dan dihancurkan dan ditambahkan dengan air atau minyak kelapa sehingga ia cukup cair untuk dijadikan sebagai “sabun” atau “syampu” semula jadi.

14. Membantu menyelesaikan masalah seksual lelaki

Ini adalah khasiat yang sangat penting buat lelaki yang mengalami masalah seksual. Dikatakan pengambilan ekstrak tumbuhan wangi ini boleh membantu merawat masalah seksual lelaki yang palig biasa berlaku iaitu ejakulasi pramatang atau mati pucuk. Ya, mungkin keberkesanannya boleh diragui, namun tidak salah untuk mencubanya, bukan?

Berdasarkan khasiat-khasiat tersebut, sudah tentu pengambilan ekstrak tumbuhan wangi ini boleh dikategorikan sebagai tumbuhan yang sangat berkhasiat jika diambil oleh individu. Pun begitu, pasti anda tertanya-tanya mengapakah ia mempunyai pelbagai khasiat? Apakah kandungan di dalamnya?

Daun pandan mempunyai kandungan antibakteria yang sangat tinggi

Jawapan kepada persoalan di atas adalah tumbuhan wangi ini mempunyai kandungan antibakteria yang sangat hebat. Berdasarkan kajian, ia sememangnya mempunyai pelbagai komponen antibakteria yang boleh menjadi herba semula jadi untuk melawan infeksi bakteria yang lain. Menurut sebuah kajian makmal, ekstraknya sangat efektif dalam melawan bakteria seperti Bacillus cereus and Escherichiacoli. Ini kerana tumbuhan wangi ini mengandungi flavonoidsaponins dan alkaloids.

Bacillus cereus adalah strain bakteria yang mengandungi toksin dan boleh menyebabkan pelbagai kondisi seperti cirit-birit, muntah-muntah dan loya. Bakteria ini boleh ditemui dalam sisa-sisa makanan seperti nasi, sup atau sos. Sementara itu, Escherichiacoli adalah jenis bakteria yang berbahaya yang juga boleh menyebabkan masalah cirit-birit, muntah-muntah dan loya serta boleh mengakibatkan kondisi yang lebih bahaya seperti pneumonia.

Menurut kajian itu lagi, ekstrak daun pandan sebenarnya sangat berkesan dalam melawan bakteria-bakteria ini. Pelbagai lagi kajian lanjut mungkin perlu dilakukan untuk membuktikan bahawa tumbuhan wangi ini sebenarnya boleh melawan pelbagai lagi bakteria, kulat atau virus lain yang juga berbahaya buat kesihatan tubuh badan.

Konklusi

Konklusinya, daun pandan bukan sekadar pewangi dan perasa masakan semata-mata kerana ia juga mempunyai pelbagai khasiatnya yang tersendiri seperti yang telah disenaraikan. Walaupun tahap keberkesanannya belum terbukti sepenuhnya, tidak salah anda mencubanya kerana ia sendiri adalah herba semula jadi, bukan?

Sumber : Ahmad Farid/Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.