Kuala Lumpur, 6 Sept – Sepasang suami isteri rakyat Myanmar ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi perempuan dalam tong sampah di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, 27 Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata suami isteri berusia 30-an dan bekerja di sebuah kilang di Bukit Serdang itu ditahan pada kira-kira pukul 8.00 malam, 28 Ogos, sehari selepas mayat bayi yang dipercayai anak mereka itu ditemui.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi penemuan mayat bayi perempuan itu, suspek (lelaki) dilihat membawa bungkusan dipercayai mengandungi bayi berkenaan.
“Hasil soal siasat dilakukan mendapati suspek wanita mengaku melahirkan bayi itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, dekat sini hari ini.
Ismadi berkata hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat bayi itu di Hospital Serdang mendapati punca kematian adalah lemas akibat dicekup dengan sesuatu objek.
“Berdasarkan keterangan suspek, kain diikat pada kepala yang menutup muka bayi itu yang menyebabkannya lemas.
“Siasatan kini ditukar daripada Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Pada 27 Ogos lepas, mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui dalam keadaan dibungkus dengan kain berwarna hitam dalam tong sampah pada pukul 4.30 pagi.
Sementara itu dalam kes berasingan, lapan lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan samun terhadap kedai serbaneka 24 jam ditahan dalam tujuh serbuan di Seri Kembangan, Puchong dan Petaling Jaya pada 28 dan 29 Ogos.
Ismadi berkata tangkapan dibuat terhadap semua suspek yang berumur antara 18 dan 23 tahun itu susulan laporan daripada seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam di Taman Kinrara memaklumkan disamun dua lelaki bersenjatakan parang pada tengah malam 20 Ogos.
Beliau berkata siasatan polis mendapati kumpulan itu aktif melakukan samun di sekitar Serdang, Petaling Jaya dan Brickfields, di Kuala Lumpur sejak dua bulan lepas.
Sumber: Bernama