Siakap Keli

Dakwa Beri Mudah Kewarganegaraan, JPN Buat Laporan Polis Ke Atas Pemilik Facebook, Twitter

PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) –  Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini membuat laporan polis ke atas beberapa pemilik akaun Facebook dan Twitter yang mendakwa jabatan itu  sewenang-wenangnya memberikan kewarganegaraan kepada rakyat asing.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya itu dibuat bagi membolehkan satu siasatan dijalankan kerana tuduhan melalui media sosial itu telah menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap ketelusan dan integriti jabatan.

Beliau berkata JPN memandang serius perkara itu kerana isu warga China memiliki kad pengenalan MyKad tersebut dilihat terus ditularkan walaupun penjelasan mengenainya telah diberikan sekali gus mengundang kekeliruan kepada orang awam.

“JPN telah mengambil langkah mengeluarkan kenyataan beberapa hari lalu bagi menjawab kekeliruan selepas isu ini ditularkan tetapi persoalan yang ditimbulkan rakyat berikutan dakwaan tersebut memerlukan tindakan lanjut diambil.

Tuduhan dan maklumat yang ditularkan itu adalah tidak benar sama sekali dan kita mahu pihak berkuasa membuat siasatan menyeluruh terhadap pihak yang membuat dakwaan tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ruslin berkata wanita warga China yang ditularkan memiliki kad pengenalan MyKad itu sebenarnya adalah isteri kepada seorang rakyat Malaysia yang telah memperoleh kewarganegaraan pada September 2017 di bawah Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya mereka telah berkahwin secara sah mengikut undang-undang Malaysia kira-kira 20 tahun lepas dan wanita tersebut merupakan pemegang kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR).

Mengenai gambar tular lima lelaki warga China memegang kad pengenalan MyKad, Ruslin berkata ia merupakan kes pemalsuan dokumen pada tahun 2015 yang telah diambil tindakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata pihaknya juga akan berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti pemilik Facebook dan Twitter yang aktif menyebarkan dakwaan berkenaan  sebagai langkah membendung penularan isu yang mencetuskan kekeliruan masyarakat itu daripada terus berlaku.

Ruslin bagaimanapun enggan merumuskan sama ada wujud motif tertentu di sebalik penularan berita itu dan menjadikan JPN sebagai subjek menjayakan matlamat pihak tertentu.

“Yang penting bagi kami, JPN mahu pastikan pertimbangan dan keputusan dalam urusan pemberian dokumen kewarganegaraan dibuat adalah  berasaskan Akta Pendaftaran Negara dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)