Siakap Keli
Kredit: CBC

27 Tahun ‘Terkubur’ Di Dasar Tasik, Rangka Wanita Ditemui Remaja Dengan Guna Kamera GoPro

Revelstoke, British Columbia – Misteri kehilangan seorang wanita warga Kanada yang hilang sejak tahun 1992 lalu terjawab apabila seorang remaja berusia 13 tahun menemui petunjuk yang membawa kepada penemuan rangka wanita tersebut.

Max Werenka menggunakan kamera GoPro miliknya untuk merakam sesuatu yang kelihatan seperti kenderaan di dasar tasik pada kedalaman 15 kaki dari permukaan tasik berhampiran lebuh raya Trans-Kanada.

Setelah menerima makluman dari keluarga Max, pihak berkuasa berjaya menaikkan sebuah Honda Accord 1986 berwarna hitam dari dasar tasik bersama rangka Nancy Farris, 69 yang hilang ketika dalam perjalanan ke majlis perkahwinan di Alberta, 27 tahun lalu.

Polis mempercayai kenderaan tersebut terjunam ke dalam tasik setelah wanita berkenaan gagal mengawal keretanya atau ketika cuba mengelak haiwan yang melintas.

Mangsa dilihat kali terakhir di sebuah stesen gas 60 batu dari lokasi berkenaan. Setelah kehilangannya, polis dan keluarganya telah melakukan pencarian di lebuh raya namun gagal menemui jejak mangsa.

“Bagi saya, perkara paling teruk adalah tidak tahu. Walaupun sedih, ini adalah pengakhiran yang paling baik,” kata anaknya, George Farris, 62.

Kata George, keluarganya merancang untuk mengebumikan ibu mereka bersebelahan dengan makam bapa mereka yang meninggal dunia pada 1984.

Sumber: CBC

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.