Siakap Keli

Semua Sekolah Di Pulau Pinang Ditutup Esok

GEORGE TOWN,18 Sept (Bernama) — Semua sekolah di Pulau Pinang ditutup esok berikutan keadaan jerebu semakin teruk dan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan mencatatkan sangat tidak sihat sehingga 5 petang ini.

Pemangku Pengarah Pendidikan negeri Abdul Rashid Abdul Samad berkata sebanyak 398 sekolah membabitkan 239,839 pelajar di seluruh Pulau Pinang akan bercuti esok.

“Berdasarkan IPU sehingga 5 petang ini, dua kawasan iaitu Minden mencatatkan 232 dan Balik Pulau 260 iaitu sangat tidak sihat manakala Seberang Jaya (189) serta Seberang Perai (193) iaitu tidak sihat.

“JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) Pulau Pinang membuat keputusan untuk menutup semua sekolah esok kerana menjangkakan dua lagi kawasan akan berlaku peningkatan IPU pada malam ini lagipun jumlah IPU juga menghampiri sangat tidak sihat iaitu 200,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya bagaimanapun cuti untuk esok hanya melibatkan pelajar sahaja manakala guru dan staf akan bertugas seperti biasa.

Abdul Rashid berkata keputusan penutupan sekolah pada hari Jumaat akan dibuat esok selepas melihat keputusan IPU pada 5 petang esok.

“Sebarang pengumuman mengenai jerebu membabitkan sesi persekolahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi guru besar sekolah masing-masing dan media,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata Pulau Pinang dijangka mengalami jerebu teruk kerana mengikut ramalan cuaca negeri ini, tiada hujan selama 10 hari.

“Tiupan angin monsun barat daya dari Sumatera turut menyebabkan jerebu semakin teruk di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau  turut menasihatkan orang ramai agar tidak berada di kawasan terbuka bagi mengelak terdedah dengan jerebu yang boleh menyebabkan berlaku sakit mata, batuk, demam dan serangan asma bagi mereka yang menghidapinya serta meminum lebih banyak air kosong.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa