Siakap Keli

Syarikat Tidak Dilindungi Jika Tuduhan Penyebab Kebakaran Hutan Indonesia Benar – KOK

PUTRAJAYA, 19 September (Bernama) – Kerajaan tidak akan melindungi empat syarikat Malaysia yang didakwa menjadi antara penyebab kebakaran hutan di Indonesia jika dakwaan tersebut benar, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata Indonesia setakat ini tidak memberikan bukti kukuh ke atas tuduhan tersebut, menyebabkan pihaknya sukar melakukan tindakan lanjut.

“Tuduhan itu dibuat oleh Indonesia maka kerajaan Indonesia harus menjalankan siasatan dan tunjukkan bukti kepada kami untuk apa-apa tindakan lanjut diambil.

“Kementerian ini tidak akan pertahankan syarikat terbabit jika terbukti melakukan perkara yang salah,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Industri Utama di sini hari ini.

Indonesia sebelum ini mendakwa beberapa kes kebakaran hutan di wilayahnya bermula di ladang digunakan subsidiari syarikat Malaysia dan menuduh empat syarikat tersebut menjadi punca kebakaran hutan di republik berkenaan hingga mengakibatkan jerebu.

Empat syarikat itu mempunyai kaitan dengan syarikat ternama Malaysia seperti IOI Corporation, Sime Darby Plantation Bhd, TDM Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd.

Kok berkata tiada arahan rasmi dikeluarkan kepada syarikat-syarikat berkenaan untuk menjawab kepada kementerian atau Indonesia namun beliau mengambil maklum kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan syarikat terbabit.

“Sehingga bukti kukuh dikemukakan, dakwaan Indonesia itu dilihat tidak berasas jika mengambil kira rekod kesemua syarikat Malaysia itu yang berpegang kepada amalan penanaman sawit secara mampan,” katanya.

Beliau berkata rekod itu adalah berdasarkan Pensijilan Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), Skim Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) atau gabungan sistem pensijilan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Tuduhan kepada empat syarikat yang dinamakan kerajaan Indonesia sangat serius menyebabkan imej syarikat berkenaan terjejas serta secara tidak langsung memberi kesan kepada imej Malaysia selaku negara pengeluar sawit, katanya.

Kok berkata sukar dipercayai jika syarikat yang mengamalkan MSPO membenarkan kebakaran terbuka berlaku di ladang masing-masing kerana perbuatan itu akan memberi kesan kepada syarikat serta lesen yang dimiliki.

Dalam perkembangan lain, Kok berkata bagi tempoh Januari hingga Julai lepas sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM93.2 bilion, manakala imbangan dagangan adalah sebanyak RM49.1 bilion.

Bagi tempoh sama juga, pendapatan eksport produk-produk komoditi adalah sebanyak RM71.2 bilion atau 12.5 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara, katanya.

Nilai eksport komoditi mengalami penurunan sebanyak 4.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas yang mencatatkan nilai sebanyak RM74.6 bilion.

Kok berkata kejatuhan eksport produk utama seperti minyak sawit, oleokimia berasaskan sawit dah getah asli merupakan antara faktor penurunan nilai eksport produk agrikomoditi itu.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)