Siakap Keli

Jerebu: 2,649 Sekolah Masih Ditutup, Penyakit Asma Dan Konjuntivitis Meningkat

Kuala Lumpur – Sebanyak 2,649 sekolah di Selangor (939), Putrajaya (25), Kuala Lumpur (296), Pulau Pinang (399) dan Sarawak (987) masih ditutup hari ini melibatkan 1,715,274 pelajar susulan keadaan jerebu yang sedang melanda negara.

Sementara itu, semua sekolah di Negeri Sembilan dan Perak telah dibuka semula dan berjalan seperti biasa berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua negeri itu menurun daripada bacaan 200 petang semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pemantauan ke atas 31 klinik sentinel jerebu mendapati jumlah kes penyakit asma dan konjuntivitis semakin meningkat.

Peningkatan penyakit asma adalah sebanyak 15.8 peratus iaitu daripada 1,187 kepada 1,375 kes pada minggu 8 hingga 14 Sept lepas, berbanding 30 Jun hingga 7 Sept 2019.

Dalam pada itu, penyakit konjuntivitis pula meningkat daripada 253 kepada 317 kes (24.9 peratus) dalam tempoh sama manakala penyakit jangkitan saluran pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection – URTI) menunjukkan penurunan sebanyak 17.3 peratus (7,551 kepada 6,245 kes).

Berikutan itu, Kementerian Sumber Manusia dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu telah menyarankan majikan supaya memberi keizinan kepada pekerja untuk menjalankan tugasan dari rumah masing-masing melihat kepada keadaan jerebu yang berterusan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.