Siakap Keli

Jerebu Semakin Pulih, Orang Ramai Kembali Beriadah Di Luar

KUALA LUMPUR, 25 September (Bernama) – Orang ramai kembali menikmati aktiviti riadah di luar bangunan hari ini ekoran kualiti udara yang semakin pulih sejak semalam selepas lebih dua minggu negara dilanda jerebu.

Cuaca cerah sejak pagi tadi turut mendorong netizen memuat naik pelbagai ciapan mengenai perkembangan baik kualiti udara yang kini mencatatkan bacaan Indeks Penceraman Udara (IPU) sederhana di hampir semua kawasan di seluruh negara.

Ada antara mereka turut memuat naik gambar pemandangan langit yang cerah dengan jarak penglihatan yang semakin jelas dari pelbagai lokasi di seluruh negara, yang sebelum ini terjejas akibat jerebu.

Pengguna Twitter, @hadigonnaslim menerusi ciapnya berkata : “Alhamdulillah , jerebu dah balik (hilang) , awan yang cerah dah kembali,syukur Ya Allah #haze”.

Seorang lagi pengguna Twitter, @over_you_heart memuat naik gambar pemandangan langit cerah dengan kapsyen “Alhamdulillah jerebu dah hilang. Finally nampak awan.. i missed you awan..”.

Sementara itu, tinjauan permandangan dari Wisma Bernama mendapati dua struktur tertingggi negara, Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas yang masing-masing terletak kira-kira tiga kilometer (km) dan enam km dari sini, sudah jelas kelihatan berbanding beberapa hari lepas.

Sejak dua minggu lepas, negara dilanda jerebu hingga menyebabkan beberapa lokasi mencatat bacaan kualiti udara sangat tidak sihat, malah kawasan di Sri Aman, Sarawak yang pernah merekodkan bacaan IPU lebih 400 pada Jumaat lepas.

Berikutan bacaan IPU di kebanyakan kawasan pernah mencecah bacaan lebih 200 atau sangat tidak sihat sebelum ini, ribuan sekolah di negeri-negeri terjejas terpaksa ditutup manakala pelbagai program sukan dan rekreasi termasuk program FitMalaysia Edisi Melaka anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) terpaksa dibatalkan.

Kementerian Kesihatan turut menasihatkan orang ramai memakai penutup hidung dan mulut selain menyarankan semua aktiviti luar premis dikurangkan.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, meramalkan keadaan jerebu yang melanda negara sejak dua minggu lepas akan beransur pulih susulan fasa Monsun Peralihan yang bermula pada 24 Sept.

Dalam tempoh monsun itu, kawasan serantau negara dijangka menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah dan berpotensi untuk pembentukan awan ribut petir yang membantu meredakan keadaan jerebu.

Perkembangan baik itu turut didorong dengan keberkesanan operasi pembenihan awan dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Sarawak, Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada minggu lepas.

Dalam pada itu semakan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 6 petang ini, hanya Johan Setia Klang masih berada dalam kategori kualiti udara tidak sihat pada paras 140, manakala 66 kawasan dengan IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)