TANAH MERAH, 27 Sept (Bernama) — Bapa kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) hiperaktif, Muhammad Aqil Azfar Azman, 11, yang ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paku, Gual Ipoh mengakui terkejut namun reda dengan pemergian anaknya dalam kejadian itu.
Bapa mangsa Azman Mansor, 39, berkata beliau mengetahui kejadian yang meragut nyawa anaknya itu melalui anak sulungnya Nor Alia 13, yang turut berada di lokasi kejadian.
“Ketika tiba di tempat kejadian dari rumah saya dari Kampung Sungai Keladi, Pasir Mas, saya tidak boleh melihat anak saya (Muhammad Aqil) kerana dia masih dalam bilik dan bomba melakukan operasi menyelamat serta memadam kebakaran.
“Ketika itu pelbagai perasaan dan harapan yang ada dalam diri saya,” katanya ketika ditemui oleh pemberita di Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini, hari ini.
Dalam kejadian terbabit Muhammad Aqil meninggal dunia dalam keadaan rentung selepas gagal diselamatkan.
Azman berkata isterinya bersama anak sulung dan mangsa bermalam di rumah terbabit yang merupakan rumah nenek mangsa petang semalam.
“Kebiasaan saya atau isteri akan datang rumah mentua dua minggu sekali.
“Anak saya (mangsa) hiperaktif tidak boleh bercakap, jika dia mahu sesuatu dia akan tarik tangan tunjuk kepada saya atau kepada ahli keluarga lain.
“Saya reda dengan pemergian anak dalam situasi begini dan arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ron Cenok, Sungai Keladi, Pasir Mas malam ini,” katanya.
Sumber: BERNAMA