Siakap Keli

Pneumokokal Boleh Ragut Nyawa Bayi, Ramai Tak Sedar Kepentingan Suntikan Vaksin Pneumokokal

Penyakit pneumokokal merupakan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumonia. Walaupun penyakit ini berisiko dijangkiti oleh semua golongan umur, namun ianya lebih sering menjangkiti kanak-kanak dan warga tua. Bakteria daripada penyakit ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan termasuklah jangkitan/radang paru-paru, meningitis (radang membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak), sepsis ( jangkitan dalam darah), sinusitis (jangkitan pada sinus) dan otitis media ( jangkitan telinga tengah ).

Masih ingatkah anda tentang seorang bayi lelaki yang meninggal dunia akibat daripada penyakit ini? Bayi yang diberi nama Aqil Hamzah itu meninggal dunia pada usianya baru sahaja satu tahun tiga bulan. Seperti yang dikatakan, penyakit ini sememangnya berisiko menyerang semua golongan, namun ianya lebih sering dijangkiti oleh golongan kanak-kanak seperti bayi. Ibunya, Erina Asmawi Abu Bakar sering berkongsikan kisah dan pengalaman kepada orang ramai agar dapat membuka mata terhadap bahayanya penyakit yang boleh membawa maut itu.

Disamping menyampaikan kisah menyayat hati itu, Erina dan suaminya, Amir Fozy juga berusaha untuk membuka mata banyak pihak dan orang ramai terhadap keperluan suntikan vaksin pneumokokal khususnya kepada golongan kanak-kanak dan warga tua.

Namun begitu, walaupun masyarakat semakin sedar akan kepentingan suntikan vaksin pneumokokal, ianya tetap menjadi halangan kepada rata-rata masyarakat yang tidak mampu untuk menanggung kos suntikan tersebut terutamanya bagi golongan B40. Bagi seorang bayi yang baru dilahirkan memerlukan empat dos suntikan untuk melengkapkan vaksin. Mana tidaknya, satu dos suntikan saja pun sudah bernilai tinggi apatah lagi sekiranya empat dos suntikan bagi melengkapkan program vaksin itu.

Sedar akan keperluan rakyat terhadap kepentingan suntikan vaksin pneumokokal ini, kerajaan Pakatan Harapan pernah mengemukakan manifesto untuk memberikan suntikan vaksin pneumokokal kepada semua bayi yang baru dilahirkan. Oleh itu, diharapkan agar langkah ini akan dapat memastikan tiada lagi bayi yang meninggal dunia akibat daripada penyakit ini.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pneumokokus merupakan penyebab utama morbiditi dan kematian di seluruh dunia, walaupun kadar penyakit dan kematian adalah lebih tinggi di negara-negara membangun dengan majoriti kematian yang berlaku di sub-Sahara Afrika dan Asia. Dianggarkan satu juta kanak-kanak mati akibat penyakit pneumokokal setiap tahun.

Penyakit ini mudah dijangkiti melalui permukaan yang tercemar dan dari individu  apabila terdapat hubungan secara langsung atau melalui titisan daripada bersin atau batuk dari orang yang dijangkiti. Oleh itu, suntikan vaksin sekurang-kurangnya dapat mencegah penyakit ini daripada menjangkiti kanak-kanak. Menerusi suntikan vaksin, ianya dapat memberi perlindungan terhadap banyak jenis dan strain bakteria.

Vaksin pneumokokal akan membantu merangsang badan menghasilkan antibodi terhadap Streptococcus pneumonia yang menyebabkan penyakit ini. Ini kerana vaksin mengandungi sebahagian daripada bakteria yang dapat mencetuskan badan untuk membina imuniti terhadap bakteria tersebut . Sekiranya sesorang individu yang menerima vaksin tersebut dijangkiti dengan strain(serotaip) Streptococcus pneumoniae tertentu , antibodi ini akan membantu melindungi individu daripada penyakit.

Sekiranya manifesto kerajaan Pakatan Harapan akan dilaksanakan kelak, adakah vaksin akan diaplikasikan kepada golongan-golongan yang berisiko tinggi terhadap penyakit ini ?

Usaha untuk menunaikan manifesto itu bagaimanapun dilihat semakin cerah berikutan tindakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pada Oktober tahun lalu, berkata beliau telah membuat permintaan khas untuk Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober untuk vaksin pneumokokal yang berjumlah RM180 juta (untuk kohort) kira-kira 500,000 setahun.

Walau bagaimanapun, besar harapan rakyat Malaysia sekiranya kerajaan berjaya menunaikan manifesto tersebut. Pastinya setiap bayi yang baru dilahirkan mendapat vaksin dan boleh mencegah daripada menjangkiti penyakit ini. Kisah menyayat hati yang terjadi kepada bayi Aqil Hamzah diharapkan tidak berulang kepada bayi yang lain sekiranya kerajaan Pakatan Harapan menunaikan manifesto yang pernah dikemukakan pada sebelum pilihan raya yang lepas.

Sumber: TwentyTwo13

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa