Siakap Keli

(Video)Ceroboh Kandang Singa, Wanita Didakwa Buat Kerja Gila Menari Depan Raja Binatang

Seorang wanita bertindak membahayakan diri apabila menceroboh kandang singa di sebuah zoo yang menempatkan spesies singa Afrika.

Merujuk kejadian yang terjadi Sabtu lalu, pihak zoo mengecam tindakan berkenaan serta memaklumkan staf mereka menyedari kejadian pada hari tersebut.

“Ini merupakan pelanggaran undang-undang yang serius dan pencerobohan ini boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian. Penghadang dan peraturan diletakkan untuk memastikan keselamatan pelawat serta staf. Kami tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pencerobohan,” kata jurucakap zoo berkenaan.

Dalam video berkenaan, seorang wanita berdiri hanya beberapa kaki daripada seekor singa jantan sambil melambai-lambai ke arah haiwan itu dipercayai cuba memprovok pemangsa tersebut.

Sementara itu dalam video berlainan, wanita tersebut menggoyangkan pinggulnya seakan-akan menari di hadapan singa tersebut.

Pemilik video tersebut, Hernán Reynoso berkata, dia bersama isteri dan anaknya  berada di zoo berkenaan ketika kejadian. Ketika sedang merakam menggunakan telefon pintar miliknya, isteri Hernán menunjukkan ke arah wanita berkenaan menyangka tindakan tersebut sebahagian daripada pertunjukan.

“Tetapi apabila melihat dia menari di situ dan menyapa singa tersebut, itu memang gila,” tambahnya.

Menurut Metro.co.uk, singa tersebut mula kelihatan terganggu dan mengaum sebelum membawa keluarganya pergi dari situ.

Zoo tersebut mempunyai penghadang yang boleh diturunkan antara tempat wanita dan singa tersebut berdiri yang didakwa membantu mengelakkan berlakunya tragedi.

Tiada kecederaan dilaporkan dan tiada maklumat lanjut sama ada wanita tersebut telah dikenakan tindakan ataupun tidak setakat ini.

Sumber: Metro.co.uk

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.