Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Suri Rumah Lesap RM67,000 Ditipu ‘Phone Scam’

Kepala Batas : Seorang suri rumah berputih mata apabila wang RM67,000 lesap, selepas dipercayai ditipu sindiket ‘Phone Scam’ yang mendakwa wanita itu terlibat dalam kegiatan jenayah, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa berusia 26 tahun itu mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat penghantaran dan memberitahunya bahawa barangan yang dikirimnya dari Kuala Lumpur ke China, ditahan pihak Kastam Guangzhou.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang individu mendakwa pegawai polis Guangzhou memaklumkan mangsa terlibat dengan jenayah dan meminta maklumat pengenalan diri dan nombor akaun bank mangsa, jika tidak mahu ditangkap,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya mangsa yang ketakutan, bukan sahaja menyerahkan maklumat yang diminta, malah turut mendedahkan nombor akaun bank milik bapanya serta nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterimanya kepada individu berkenaan.

”Mangsa membuat tiga kali pindahan wang ke dalam akaun bank diberikan individu berkenaan membabitkan jumlah keseluruhan RM27,000 dan berikutan tindakannya mendedahkan nombor TAC yang diterimanya, sejumlah RM20,000 dari akaunnya dan RM20,000 lagi dari akaun bapanya juga hilang,” katanya.

Noorzainy berkata selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis.

Polis kini sedang mengesan pemilik akaun bank itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.