Siakap Keli
Kredit: Facebook Ah Cheng Laksa/Bahagian Halal Hab JAKIM

Didakwa Guna Ramuan Tak Halal, Ini Penjelasan JAKIM Mengenai Status Halal Ah Cheng Laksa

Baru-baru ini tular dakwaan rangkaian restoran francais laksa terkenal di Selangor dan Kuala Lumpur mencampurkan darah khinzir di dalam hidangan mereka.

Terkenal dengan laksanya yang lazat, berita ini telah menimbulkan kegusaran pelanggan beragama Islam sama ada mereka yang pernah makan mahupun baru berhajat untuk menjamu selera di restoran tersebut.

Berikutan kerisauan terhadap status halal restoran Ah Cheng Laksa, Bahagian Hab Halal JAKIM telah tampil memberi penjelasan terhadap dakwaan itu;

“Media sosial Halal Malaysia kini dihujani dengan pertanyaan awam berkenaan status halal premis makanan Ah Cheng Laksa. Ianya berpunca daripada tular yang mendakwa premis makanan tersebut menggunakan ramuan yang tidak halal dan tidak sesuai dikunjungi oleh pelanggan khususnya yang beragama Islam.

Untuk makluman, premis makanan Ah Cheng Laksa masih belum menjadi pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Walau bagaimanapun, Central Kitchen bagi premis makanan berkenaan yang didaftar atas nama Ah Cheng Laksa Sdn Bhd di lokasi Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, Selangor telah dipersijilkan halal.

Kredit: Facebook Ah Cheng Laksa

Pensijilan halal yang diperolehi oleh Central Kitchen tidak bermakna seluruh rangkaian outletnya telah dipersijilkan halal kerana bagi permohonan premis makanan berangkai, terdapat syarat-syarat khusus pensijilan halal yang perlu dipenuhi.

Justeru, JAKIM mengalu-alukan usaha murni pihak syarikat untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk seluruh rangkaian premisnya agar kekeliruan status halal dapat diatasi dengan berkesan.

Pihak kami menyarankan kepada para pengguna untuk mengutamakan produk atau premis makanan yang telah mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Premis atau produk makanan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia bukan sahaja dijamin halal malahan ianya toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard, peraturan dan perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.

Pengguna juga dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah dan salah faham sesama ummah yang akan menjejaskan keharmonian negara.

Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.
Ikuti penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular di http://bit.ly/PenjelasanIsuHalalTular

Terima kasih.

“Yakini Halal Malaysia”

Sumber: Bahagian Hab Halal JAKIM

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.