Katanya setakat ini pihaknya berjaya mengesan seorang waris, manakala waris seorang lagi mangsa belum dapat dikesan.
“Waris yang berjaya dikesan dipercayai ibu kepada seorang mangsa berbangsa Melayu. Waris telah hadir ke Hospital Tuanku Ja’afar, untuk membantu bagi pengecaman identiti menerusi sampel deoksiribonukleik (DNA).
“Selain itu, polis masih lagi giat mengesan waris seorang lagi mangsa berbangsa Cina. Mangsa dipercayai bernama Kiew Ah Lai, 55, dan berasal daripada Kedah berdasarkan penemuan lesen memandu di lokasi kemalangan. Waris mangsa diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Mohd Said bagaimana pun tidak mendedahkan nama seorang lagi mangsa.
Dalam pada itu, beliau meminta saksi kejadian supaya tampil memberi keterangan dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 06-6033394.
Dalam kejadian 6.40 petang itu, dua lelaki rentung selepas van jenis Nissan Vanette yang dinaiki mereka terbakar di Kilometer 262.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara berhampiran susur keluar Seremban.
Kemalangan berlaku selepas van yang dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang lelaki terbabas ke kiri lebuh raya dan terjunam ke dalam longkang sebelum terbakar.
Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.