Siakap Keli
Gambar Hiasan

Enam Sekeluarga Maut Ditembak Ketika Dalam Perjalanan Ke Sambutan Maulidur Rasul

Menurut petikan daripada Bernama, enam sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak maut dipercayai ditembak di perairan selatan Filipina, Selasa lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu dan berkata kesemua mereka dari Pulau Denawan, Semporna di Sabah.

Beliau berkata kesemua mereka yang bukan warganegara Malaysia ketika itu dalam perjalanan ke Siasi, selatan Filipina bagi menyambut Maulidur Rasul bersama keluarga di sana.

“Sewaktu perjalanan ke Siasi pada waktu malam, bot yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot yang tidak dikenali.

Berikutan itu, sekumpulan individu yang berada di dalam bot yang tidak dikenali itu menghampiri bot mereka lalu melepaskan tembakan,” katanya.

Omar berkata tembakan itu menyebabkan enam maut manakala dua lagi individu berjaya menyembunyikan  diri dan terselamat.

Beliau berkata keluarga mangsa yang berasa bimbang dan curiga kerana mereka belum tiba di destinasi keluar mencari mereka dan menemui sebuah bot hanyut yang di dalamnya terdapat enam mayat dan dua individu yang terselamat.

“Keluarga mereka membawa kesemua mereka ke Pulau Denawan untuk dikebumikan sebelum orang awam mengetahui kejadian itu dan melaporkannya kepada polis,” katanya sambil menambah kesemua mangsa telah dikebumikan pada Jumaat.

Omar berkata orang awam melaporkan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Semporna.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)