Kredit: Google/The Jakarta Post

Lelaki, Kalau Ada Niat Nak Kahwin, Kena Usaha Ubah Dulu 5 Perangai Ini

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Baik lelaki mahupun wanita, kedua-duanya mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebelum bergelar pasangan suami isteri dalam sesebuah institusi keluarga.

Hal ini kerana sikap sebelum kahwin akan terus menjadi tabiat selepas kahwin. Tiada magik yang boleh mengubah sikap seseorang menjadi baik dalam satu hari, apatah lagi sekadar selepas akad. Oleh itu, kita perlu mengikis tabiat negatif sedikit demi sedikit sebelum menjejakkan kaki ke alam rumahtangga.

Anda lelaki dan berniat untuk berkahwin? Apa kata kita baca perkongsian Peguam Syarie Khidmat Masyarakat terlebih dahulu untuk muhasabah bersama.

Lelaki, kalau ada niat nak kawin, maka ubah dulu tabiat-tabiat ini;

1. Solat

Kalau sekarang ni tak solat atau solat ikut kerajinan, maka mulai hari ini, jangan pernah tinggal solat dan sentiasalah solat diawal waktu. Tapi kalau kita masih sama, masih bawa perangai solat ikut rajin atau tak solat langsung di dalam rumahtangga yang akan didirikan, maka rumahtangga tu tak akan dapat bertahan lama.

Sebab imamnya boleh meninggalkan Allah, apatah lagi manusia.

Gambar hiasan. (Kredit: About Islam)

2. Kerja

Bila nak kahwin, pastikan anda dah ada kerja yang stabil, yang mana anda selesa disitu dan bakal berkhidmat disitu untuk satu tempoh yang tertentu. Nak bela anak orang, nak jaga anak orang, kerja tak boleh ikut suka, tak boleh kerja sekejap, berhenti, lepas tu menganggur sehingga dapat kerja yang sesuai, yang ikut citarasa anda sendiri.

Tak boleh macam tu sebab kita ada anak bini untuk ditanggung dan disara dengan hasil gaji yang kita dapat setiap bulan. Jadi, pastikan anda mempunyai kerja yang stabil dan pendapatan bulanan yang tetap dahulu.

3. Perangai bujang

Perangai bujang ni banyak kalau nak disenaraikan; merempit, melepak, keluar rumah ikut suka, balik rumah ikut suka dan sebagainya. Maka kita perlu ubah semua ni, perlu ubah gaya hidup kita tu dengan bawa motor berhati-hati, kurangkan keluar melepak, keluar rumah pada masa-masa yang sesuai dan balik rumah sebelum tengah malam.

Didik diri untuk selesa dengan amalan macam tu supaya bila kita dah berkahwin, kita tak cenderung untuk buat perangai-perangai masa kita bujang dulu.

4. Belajar mengemas

Gambar hiasan. (Kredit: USA Today Classified)

Jangan terus letak dalam minda yang kerja rumah adalah kerja isteri sahaja. Kita sebagai lelaki juga perlu tahu untuk buat kerja-kerja rumah. Perlu tahu cara menyapu sampah, mop lantai, kemas rumah, sidai baju, lipat baju dan sebagainya supaya bila kita dah berkahwin, kita masih boleh teruskan apa yang kita dah biasa buat, dah selalu buat tu.

Percayalah, ianya akan mengurangkan bebanan isteri sebanyak 50 peratus dan lelaki nampak macho jika tahu untuk buat kerja-kerja rumah.

5. Berhenti jadi buaya darat, jaga pergaulan.

Sekarang, sebelum kahwin, mungkin kita mempunyai ramai kawan perempuan. Semua kita keep in touch, berhubung berjumpa dan keluar dengan mereka atas nama “kawan”.

Tapi bila dah berkahwin, kita dah tak boleh keluar dengan perempuan walaupun dia itu seorang kawan sahaja sebab kita dah beristeri, dan tiada keperluan untuk kita ada kawan perempuan yang kita masih rapat lagi.

Kawan perempuan selepas berkahwin hanyalah si isteri seorang sahaja. Anda dah perlu menjarakkan diri atau kurangkan berhubung saat anda bakal menjadi suami kepada seseorang.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Perkahwinan merupakan ikatan yang suci, yang menghalalkan hubungan antara seorang lelaki dan seorang perempuan.

Perkahwinan bukan sekadar untuk memuaskan nafsu semata-mata tapi ianya merupakan 1 tanggungjawab dan 1 amanah untuk kita pikul, galas dan laksanakan sebagai seorang lelaki, suami, imam, pemimpin dan pembimbing kepada seorang perempuan yang diciptakan dari rusuk kiri kita yang bengkok, untuk diluruskan dalam kita menuju ke jalan yg diredhai Allah S.W.T.

Maka, ubah tabiat-tabiat yang dinyatakan jika kita ada niat untuk mendirikan rumahtangga.

Sumber: Peguam Syarie Khidmat Masyarakat

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Dari Wiser.my