Siakap Keli

Penunjuk Perasaan Di Hong Kong, Cedera Parah Ditembak Polis

Seorang penunjuk perasaan parah setelah ditembak pada jarak dekat oleh polis dalam kejadian yang telah disiarkan secara langsung di Facebook Live, pada hari dikira paling ganas sepanjang bantahan yang tercetus di Hong Kong  sejak lima bulan lalu.

Seorang lelaki turut dicurah cecair mudah bakar dan dibakar hidup-hidup susulan satu pertengkaran, dengan kejadian itu tular selepas dirakam menggunakan telefon bimbit. Polis turut mendakwa penunjuk perasaan yang melakukan serangan itu.

Penunjuk perasaan yang sejak awal pagi merancang melumpuhkan hab kewangan antarabangsa itu terus mengganas sebaik berita tembakan itu tersebar dengan menyerbu stesen kereta api, kedai dan menyekat lalu lintas.

Dalam kejadian pertama yang disiarkan secara langsung di Facebook, seorang anggota polis dilihat mengeluarkan pistolnya ketika cuba menahan seorang lelaki bertopeng di satu persimpangan jalan yang disekat penunjuk perasaan.

Seorang lagi individu bertopeng dilihat menghampiri polis berkenaan sebelum ditembak dan terus rebah.

Dua lagi tembakan didengar dan anggota berkenaan bergelut dengan seorang lagi penunjuk perasaan yang kemudian ditahan bersama lelaki yang ditembak itu.

Mangsa yang ditembak masih dalam keadaan sedar malah cuba untuk melarikan diri walaupun dalam keadaan berlumuran darah, manakala lelaki kedua menjerit namanya kepada pemberita ketika digari.

Polis mengesahkan seorang individu cedera ditembak manakala pihak berkuasa hospital berkata, seorang lelaki berusia 21 tahun dirawat kerana kecederaan itu.

Ia kali ketiga polis menembak penunjuk perasaan dengan peluru hidup.

Sementara itu, lelaki yang dibakar turut dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan kritikal, kata jurucakap polis John Tse.

Polis menuduh perusuh melakukan pelbagai serangan ganas lain termasuk membaling bom petrol ke dalam gerabak kereta api.

Keganasan berterusan di Hong Kong sejak lima bulan lalu dan ketegangan meningkat selepas seorang pelajar universiti maut selepas koma hampir seminggu akibat jatuh ketika pertembungan dengan polis.

Sumber : theguardian

Nurul Alia Ali

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)