Siakap Keli

Kad MCAC Tak Diiktiraf Dan Tidak Ada Keistimewaan Pada Pekerja Warga Asing

PUTRAJAYA, 21 Nov – Kad Malaysian Clarification Authority Card (MCAC) yang dikeluarkan kepada warga asing tidak diiktiraf, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN)  hari ini.

KDN dalam satu kenyataan berkata ia menerima maklumat berhubung kegiatan Agensi Pekerjaan AJZ Sdn Bhd yang menjalankan aktiviti mengumpul maklumat, mendaftar dan mengeluarkan kad MCAC kepada warga asing terutamanya pendatang asing.

KDN menjelaskan bahawa ia tidak pernah melantik Agensi Pekerjaan AJZ untuk menjalankan aktiviti pendaftaran warga asing dan tidak terlibat sama sekali dalam proses pendaftaran, tapisan, temuduga dan pengeluaran kad tersebut.

Kegiatan syarikat itu berunsurkan penipuan ekoran dakwaan bahawa kad MCAC, dengan jumlah bayaran tertentu, memberi kebenaran kepada warga asing untuk tinggal di Malaysia dan membenarkan mereka bekerja dalam mana-mana sektor pekerjaan tanpa sebarang ikatan kontrak, katanya.

Kad yang dikeluarkan oleh syarikat ini tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada warga asing dan tidak memberi kebenaran kepada warga asing untuk bekerja secara sah di Malaysia seperti yang dijanjikan,” tegas KDN.

KDN berkata satu laporan polis telah dibuat pada 13 Nov  bagi menafikan perkaitan KDN dalam kegiatan pengeluaran kad MCAC itu.

Menurut KDN, Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meyerbu sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 18 Nov lepas dan menahan sembilan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengeluaran kad MCAC.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang bentuk pembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa membuat program pendaftaran atau pengeluaran kad kepada warga asing ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.