Siakap Keli

Ada Yang Sanggup Beratur Panjang Kerana ‘Dia’, Ini Sejarah Nasi Kandar Yang Ramai Tak Tahu

Nasi kandar merupakan makanan yang tidak asing lagi di negara kita. Nasi kandar boleh ditemui diseluruh pelosok negara terutamanya sebelah semenanjung.

Namun tempat yang khusus dan terkenal bagi hidangan ini ialah di sebelah utara iaitu Pulau Pinang, Perak, dan Kedah.

Namun tidak ramai yang tahu sebenarnya asal usul atau bagaimana nasi kandar tercipta.

Ikuti perkongsian dari seorang pengguna Twitter @PopPelangi tentang sejarah nasi kandar.

Nasi kandar merupakan makanan yang popular terutamanya di sebelah utara seperti Pulau Pinang, Perak dan Kedah. Ia merupakan nasi berlauk yang biasanya bergulaikan kari, ayam goreng, atau gulai daging, atau makanan laut bersama bendi rebus dan kobis goreng.

Hubungan kaum Tamil dengan orang Melayu sudah berlangsung hampir 2,000 tahun lamanya. Ia ada dicatatkan dalam buku puisi Tamil berjudul Pattinappalai yang merupakan antara hasil sastera di era Sangam. Ada disebut dalam buku tersebut nama Semenanjung, dipanggil Kaalagam.

Walaupun pada kurun ke-11 berlaku serangan Rajendra Chola, hubungan antara Tamil dan Melayu pada era lain secara relatifnya rapat, terutamanya dalam hal makanan.

Sekitar abad ke-17 Syarikat Hindia Timur Inggeris telah membuka pos perdagangan di sekitar Chennai, dengan kebenaran Maharaja Mughal, Aurangzeb Alamgir I yang mahu memajukan empayarnya dengan bantuan Inggeris. Sejak itu ramai buruh (dan hamba abdi) kaum Tamil dikerah Inggeris.

Pada tahun 1786, Sir Francis Light memajak Pulau Pinang dari Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah dengan bayaran 6,000 perak setahun, sekaligus membangunkan pulau tersebut menjadi pelabuhan British di Selat Melaka.

Pada awalnya Light berjanji untuk membantu Kedah dalam melawan pemberontakan Bugis dalam negeri, serta membantu menentang serangan Siam dan Burma, tetapi Light mengkhianati Sultan Kedah, Kedah mahu menawan semula Pulau Pinang pada 1791, namun gagal.

Pada 1800, Leftenan Jeneral Prince of Wales Island (nama Pulau Pinang yang diberi British), mahu tanah Seberang Perai yang kemudian diberi nama Wellesley Province. Semenjak itu, Pulau Pinang menjadi bandar pelabuhan utama British yang mengeksport bahan mentah ke empayar.

British membawa pekerja dari berbangsa Tamil ke Pulau Pinang untuk kerja-kerja di dermaga pelabuhan. Dan memandangkan kerja-kerja ini berat, mereka memakan makanan yang cukup berat dan banyak.

Makanan ini dibawa dengan kandar dan dipikul di sekitar pelabuhan pada waktu pagi untuk pekerja-pekerja pelabuhan menikmati sarapan, sebelum mereka memulakan kerja.

Mereka menjaja nasi dengan lauk ayam atau ikan, bersama bendi atau terung dengan harga 5 sen sepinggan. Mereka duduk di tepi pokok di sekitar Weld Quay sambil menunggu pekerja ini membeli nasi daripada mereka.

Mesti ada yang terkejut kan, tentang harga sepinggan nasi kandar di Pulau Pinang pada 1820an ialah 5 sen sepinggan? Ini harga barangan di pasar borong Kuala Lumpur pada 1897.

Hari ini, terdapat banyak restoran nasi kandar di seluruh Semenanjung. Ada yang asli, ada yang hanya letak nama nasi kandar sahaja tapi tak ada rasa.

Menurut kawan yang merupakan orang Pulau Pinang, syarat untuk jadi nasi kandar, ia harus ada :

1. Nasi tersebut mempunyai aromanya yang tersendiri, bukan nasi kosong.

2. Campuran gulai yang tepat agar kombinasinya menjadi enak. Kalau suruh kita cedok lauk sendiri layan diri tu, tak jadi nasi kandar.

3. Biasanya 3 lauk. Protein seperti ayam, daging, ikan, atau makanan laut.

Sayur seperti kobis, cili hijau, terung, acar timun atau bendi, dan sama ada telur masin, telur ikan, telur rebus/dadar bawang atau sambal kelapa.

Saya pun tak pasti adakah ini benar, tapi ini menurut kata orang yang menetap di Pulau Pinang sendiri.

Terdapat banyak restoran nasi kandar yang sedap. Antaranya:

1. Nasi Kandar Kampung Melayu, Ayer Itam, Pulau Pinang.

2. Deen (ada 2, iaitu Deen di Jelutong dan Deen Maju di Jalan Gurdwara)

3. Tajuddin Hussain di Lebuh Queen.

4. Kassim di Jalan Magazine.

5. Pelita yang ‘ori’ di Taman Chai Leng, Perai.

6. Pokok Ketapang di Lorong Hutton, Perai.

7. Yong Suan, Ipoh.

8. Yassem, Chow Kit.

9. Zainul, PJ.

10. Kari Kepala Ikan Kampung Pandan.

Namun citarasa seseorang itu berbeza. Ada yang berpendapat tempat tertentu itu lagi sedap dan sesuai dengan tekak dan citarasa mereka.

“Nasi kandar ni satu seni, sesetengah suka sini, sesetengah suka sana.”

Sumber : Twitter

Nurul Alia Ali

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)