Siakap Keli

(Video)Viral Ibu Tunggal OKU Gigih Berniaga Walau Berkerusi Roda, Tak Mahu Minta Sedekah Sara Keluarga

Setiap manusia pasti akan diuji dengan pelbagai dugaan dalam kehidupan sehingga sampai ke satu tahap dugaan tersebut tidak mampu lagi untuk dihadapi oleh mereka.

Seperti kebiasaannya, jika anda pernah melihat video-video yang dimuatnaik oleh FS Channel, anda pasti akan memahami bahawa ada sesetengah orang yang tidak bernasib baik dalam kehidupan namun sentiasa berusaha untuk memperbaikinya.

Terbaharu, satu lagi video daripada FS Channel telah tular yang memperlihatkan seorang ibu tunggal OKU yang tetap gigih mencari rezeki untuk menyara kehidupan dan anak-anaknya dengan menjual tepung pelita dengan harga RM1 sahaja.

Menerusi video yang mendapat sebanyak 63 ribu likes dan 25 ribu shares itu,  Zarina Abu Sufian atau lebih dikenali sebagai Kak Ina itu tabah menjual makanan setiap hari  dengan hanya berkerusi roda.

“Saya akan menjual sebanyak 200 biji tepung pelita sehari dan akan disedekahkan kepada masjid serta orang ramai jika tidak habis dijual. Macam mana saya nak makan sedap, macam tu lah saya akan jual dekat orang,” katanya.

Ibu tunggal itu juga berkata bahawa orang ramai tidak perlu risau kerana beliau telah mendapat suntikan ‘Thypoid’ yang dikhususkan untuk penjual makanan.

Kak Ina yang kelihatan sangat mesra dan ramah itu menjual di dua lokasi yang berbeza iaitu hari Jumaat hingga Ahad beliau akan berada di Masjid Jamek dan hari-hari akan menjual di Masjid Abu Ubaidah.

Beliau juga dilihat sangat terkejut dan terharu apabila pihak FS Channel ingin membeli kesemua tepung pelitanya. Sumbangan daripada orang ramai juga turut diberikan kepadanya.

“Saya doakan semua yang menonton akan beroleh kebaikan, sentiasa sihat, bahagia di samping orang tersayang dan dilimpahkan rezeki,” katanya.

Rata-rata netizen sebak melihat video itu serta memuji ketabahan dan kerajinan Kak Ina dalam membesarkan anak-anaknya walaupun tidak sempurna seperti insan lain.

Semoga Kak Ina terus diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk mencari rezeki serta menampung kehidupannya bersama anak-anak. Diharapkan juga lebih ramai orang yang membantu golongan peniaga kecil-kecilan.

Sumber: FS Channel

Sofea

There's always another side to every story