Pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar pendidikan bagi memastikan semua pelajar dapat merasa manfaat bersama. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah melaksanakan Dasar Sifar Penolakan bagi memastikan kesamaan pelajar terjamin.
Dasar Sifar Penolakan merupakan dasar sedia ada yang diperkasakan bagi memastikan penempatan murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah-sekolah KPM tanpa menafikan hak MBK untuk menerima hak pendidikan.
Perlaksanaan dasar ini telah melibatkan semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di mana MBK boleh diterima masuk ke mana-mana Program Pendidikan Inklusif (PPI), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Sekolah Pendidikan Khas (SPK).
Dasar ini mendukung kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 yang menyatakan bahawa MBK berhak mendapatkan akses kepada pendidikan yang relevan dan sesuai.
Oleh itu, marilah kita menyahut dan merealisasikan hasrat Kementerian untuk terus memperkasakan hak pendidikan kepada MBK dan seterusnya memastikan setiap ringgit dibelanjakan untuk meningkatkan keberhasilan dan kemenjadian MBK.
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia