Kuala lumpur sebagai ibu negara Malaysia sudah pasti merupakan salah satu lokasi yang paling menarik yang mendapat perhatian ramai pelancong. Bandaraya ini menyimpan begitu banyak lokasi menarik dan unik bangunan pencakar langit yang tinggi dan berdiri gah memasak bumi.
Jadi tidak hairanlah Malaysia dilaporkan telah menjadi salah satu antara negara Asia yang paling ramai dilawati setiap tahun dengan bilangan pelancong yang mencecah sehingga 26 juta orang daripada seluruh dunia.
Selain Menara berkembar Petronas (KLCC), Menara KL, Bukit Bintang dan tempat perlancongan terkenal lain, sebenarnya Kuala Lumpur mempunyai begitu banyak tempat lain yang menarik untuk di lawati, dari lokasi untuk bersantai, melakukan aktiviti lasak sehingga ke alam semulajadi, Kuala Lumpur ‘menyediakan’ lokasi yang boleh memberikan keterujaan dan kegembiraan kepada anda.
1. Taman Burung Kuala Lumpur
Buat anda yang meminati atau teringin melihat spesis burung daripada seluruh dunia, Taman Burung di Taman Tasik Perdana merupakan tempat yang sesuai untuk dikunjungi. Taman yang berkeluasan 20.9 ekar itu dibahagikan kepada 4 zon yang berbeza.

Di Zon 1 dan Zon 2, anda boleh melihat burung-burung yang berterbangan bebas manakala habitat bagi burung-burung enggang pula boleh dilihat di Zon 3. Bagi melihat tempat pertunjukkan burung dan tempat pembiakannya anda boleh singgah di Zon 4.
Taman burung yang terbesar di dunia itu dibuka setiap hari termasuk pada hari cuti umum dan cuti sekolah dari 9 pagi hingga 6 petang. Harga tiket bagi orang dewasa ialah RM25 dan kanak-kanak pula RM12.
2. Bukit Tabur
Bagi yang menyukai aktiviti riadah seperti mendaki , anda boleh mengunjungi Bukit Tabur yang sangat popular dalam kalangan pendaki.
Bukit yang berketinggian sehingga 396 meter ini mempunyai dua laluan berbeza iaitu Tabur East dan Tabur West. Laluan Tabur West dilihat lebih mudah dan mesra pengunjung dan sesuai untuk beginner yang baru sahaja mula belajar mendaki.

Anggaran masa yang diambil untuk sampai ke puncak adalah dalam sekitar tiga hingga empat jam bergantung kepada stamina.
3. Taman Metropolitan Kepong
Pasti ada di antara anda yang sudah tidak tahu lagi hendak pergi ke mana pada setiap hujung minggu. Anda boleh juga boleh beriadah di Taman Metropolitan Kepong yang dilengkapi dengan laluan khas untuk anda berjogging atau berbasikal sambil mengelilingi tasik. Anda juga boleh melihat sinaran matahri yang terbenam pada waktu petang.



Anda tidak perlu risau kerana terdapat banyak kemudahan yang disediakan seperti tempat meletak kereta, khidmat sewaan basikal, ruang terbuka untuk bermain layang-layang, tanah lapang untuk berkelah, laluan refleksologi, menara pemerhatian, tandas, gerai jualan makanan dan banyak lagi.
4. Taman Rimba Bukit Kerinchi
Bagi yang ingin berkelah dan berkhemah bersama keluarga dan kawan-kawan, anda boleh berkunjung ke Taman Rimba Bukit Kerinchi yang mempunyai tarikan semula jadi.

Taman yang bersebelahan dengan Hutan Pendidikan Bukit Gasing itu mempunyai kolam-kolam kecil dan sungai.
5. Galeri Batik JADI
Bukan sahaja boleh melihat bagaimana corak batik dihasilkan, anda juga boleh merasai sendiri bagaimana untuk mencanting batik di Galeri Batik JADI.
Galeri yang berkeluasan sehingga 30,000 kaki persegi itu juga menjual barangan batik dan kraftangan.

6. The River of Life
Jika bercuti di Kuala Lumpur, rugi jika anda tidak melawat tempat menarik ini iaitu The River of Life yang merupakan antara 10 waterfront terbaik di dunia yang terletak berdekatan dengan Pasar Seni dan Chow Kit.

Anda pasti akan terpesona dengan pemandangan sebelum matahari terbenam di mana terletaknya sungai dengan air pancuran serta laluan yang cantik.

Waktu malam pula menyaksikan cahaya lampu sepanjang waterfront itu bersinar dengan gaya yang bersesuaian dengan muzik.
7. Museum of Illusions Kuala Lumpur
Beroperasi dari Isnin hingga Ahad, muzium ini menyediakan hasil seni ilusi mata yang boleh dirasai sendiri.

Ilusi yang boleh dilihat adalah Rubin’s Vase, The Bottomless Pit, The Chair Illusion Hollow Face, Stereogram, Ames Room, Infinity Room, Hologram dan banyak lagi.

Harga tiket bagi orang dewasa ialah RM35 dan kanak-kanak pula RM25.
8. OUR ArtProjects @ The Zhongshan Building
Tidak dilupakan untuk pencinta seni, sesuai dengan status Kuala Lumpur yang menyimpan pelbagai khazanah dan tempat menarik, anda boleh berkunjung ke The Zhongshan Building untuk melihat Design Archive, Bogus Merchandise, Artist Studio, Rumah Attap Library And Collective , Kafe dan banyak lagi.

Tingkat dua bangunan ini juga memperlihatkan wujudnya kedai muzik yang dipenuhi dengan vinyl, kaset, buku dan lain-lain yang berkaitan dengan muzik.
Hanya dibuka dari hari selasa hingga sabtu, pengunjung boleh masuk dengan percuma.
9. Flight Experience Kuala Lumpur
Pasti ada dalam kalangan anda yang bercita-cita untuk menjadi juruterbang namun impian itu tidak tercapai. Dengan wujudnya pelbagai teknologi pada masa kini, anda masih lagi boleh merasai pengalaman membawa kapal terbang dengan berkunjung ke Flight Experience Kuala Lumpur yang menyediakan simulasi penerbangan.
Anda boleh memilih sehingga 24,000 buah lapangan terbang di seluruh dunia sebagai lokasi tujuan atau bertolak, lengkap dengan visual dan audio yang sangat realistik.
Dengan membayar sebanyak RM250, anda berpeluang untuk menjadi juruterbang selama 30 hingga ke 90 minit.
10. Taman Rama-Rama Kuala Lumpur
Taman yang berkeluasan 80,000 kaki persegi ini merupakan taman rama-rama terbesar di dunia yang dihuni oleh 6000 spesis rama-rama.

Anda juga dapat melihat habitat haiwan ini yang wujud di sekitar tumbuhan eksotik. Muzium yang mengumpulkan koleksi rama-rama dan serangga eksotik juga turut dibuka kepada orang ramai untuk melihat sendiri jenis rama-rama yang wujud di seluruh dunia.
Haiwan lain seperti unggas, penyu, ikan koi Jepun dan serangga eksotik juga boleh dilihat di taman ini.
Dengan hanya RM11 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak, anda boleh berjalan sepuas-puasnya. Jangan risau kerana taman ini dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.
11. Kuala Lumpur Upside Down House
Merupakan rumah terbalik yang pertama dan tertinggi di Malaysia, ia pasti akan memberikan pengalaman yang unik dan mengujakan bagi seisi keluarga.

Penggunaan warna yang ceria dan rekaan yang melawan graviti menjadi daya penarik untuk orang ramai datang bergambar di sini.
Beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 7 petang, harga tiket untuk dewasa hanya RM20 dan kanak-kanak RM12.
12. Bank Negara Museum and Art Gallery
Bagi yang ingin menambah ilmu pengetahuan mengenai ekonomi di Malaysia serta sejarahnya, anda boleh ke Bank Negara Museum and Art Gallery. Pelbagai info seperti perbankan Islam, galeri seni kontemporari dan banyak lagi dipamerkan.

Terdapat 6 galeri yang ada iaitu Galeri Seni, Galeri Perbankan Islam, Galeri Numismatik, Galeri Kanak-Kanak, Galeri Ekonomi dan Galeri Bank Negara Malaysia.

Masuk adalah percuma dan beroperasi pada setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.
13. Taman KLCC
KLCC merupakan mercu tanda kebanggaan bagi Malaysia dan anda pastinya telah beberapa kali berkunjung ke bangunan tertinggi itu. Namun, jangan lupa untuk bersantai di Taman KLCC yang penuh dengan kehijauan.

Landskap taman telah direka oleh seorang arkitek landskap Brazil, Roberto Burle Marx, yang juga merupakan seorang arkitek terkenal di dunia. Ia menjadi hasil seni agungnya yang terakhir sebelum pemergiannya.
14. Hutan Simpan Bukit Nenas (Taman Eko Rimba KL)
Bagi yang ingin lari dari kesibukan dan keriuhan ibu kota, anda boleh berkunjung ke Hutan Simpan Bukit Nenas untuk bersantai dan menghilangkan tekanan.

Hutan simpan yang tertua di semenanjung Malaysia ini dikenali sebagai ‘green lung’ Kuala Lumpur kerana terletak di tengah-tengah bandaraya metropolitan yang dipenuhi bangunan tinggi.
Hutan ini juga lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti pondok untuk bersantai, padang permainan, tempat berkhemah dan laluan jogging.
Baca: Bukan Saja-Saja Burung Bertenggek Atas Kabel Elektrik, Ini Sebabnya
15. Taman Orkid Kuala Lumpur
Taman ini memperlihatkan sebanyak 3000 jenis pokok berwarna-warni yang boleh menarik perhatian pencinta bunga dan tumbuh-tumbuhan.

Jika anda ingin menghias rumah dengan tumbuhan segar, anda boleh membelinya di pusat jualan orkid yang hidup segar pada setiap hujung minggu.
16. Taman Rusa dan Kancil
Masuk percuma dan dibuka setiap hari, anda boleh melihat rusa dan kancil dengan lebih dekat serta membawa anak-anak untuk memberi makan kepada haiwan-haiwan itu.

17. Taman Tasik Titiwangsa
Anda pasti rugi jika tidak pernah berkunjung ke taman tasik ini kerana ia menjadi tempat bersantai dan beriadah untuk seisi keluarga.

Kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, laluan joging, trek kereta kawalan jauh dan kemudahan menunggang kuda turut disediakan.
Gerai-gerai menjual makanan dan minuman juga turut menghiasi tasik itu dan orang ramai boleh membeli sambil menikmati pemandangan sekeliling.
18. Taman Botani Kuala Lumpur
Taman ini terletak berhampiran di kawasan bersejarah Tugu Negara, yang terpahat kehebatan sejarah negara di pusat bandaraya Kuala Lumpur, Taman Orkid, Taman Rama-rama dan banyak lagi lokasi menarik.

Dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan, rekaan taman yang menarik dan bunga yang penuh warna-warni, ia menjadi lokasi yang sangat sesuai untuk berfotografi. Anda juga boleh menghilangkan tekanan dengan menghirup udara yang segar.
19. Blastacars Malaysia
Menjanjikan pengalaman yang mengujakan dan penuh adrenalin, Blastacars Malaysia menyediakan sebuah trek indoor sepanjang 200 meter dan anda boleh berlumba menggunakan Drift Karts yang disediakan.

Blastacars juga menawarkan harga yang sangat berpatutan mengikut tahap pilihan speed setting yang dimahukan iaitu tahap Novice sebanyak RM60, Advance sebanyak RM90 dan Pro (Dengan Black Card) sebanyak RM100.
20. Breakout
Mempunyai dua cawangan iaitu Nu Sentral dan Avenue K, anda boleh menguji tahap keberanian dengan memasuki bilik yang menyeramkan.

Breakout menjadi satu-satunya escape game di dunia yang menggabungkan permainan berperanan (role-play).
Harga untuk masuk ke tempat ini adalah mengikut bilangan orang pada setiap bilik yang dianggarkan dari RM100 hingga ke RM300 sahaja.