Seorang nelayan hilang selepas bot kayu yang dinaiki beliau bersama dua rakannya untuk turun ke laut menangkap ikan, karam di muara Sungai Dungun awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata dalam kejadian itu, Mohd Fadhil Jusoh, 39, dan Mohamad Ekhsan Kamaruddin, 32, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang sendiri ke pantai sambil berpaut dengan tong minyak, manakala Afandi Zakaria, 42, terus hilang.
“Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan kesihatan memandangkan salah seorang daripada mereka menghidap penyakit darah tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Difahamkan ketika ini empat anggota bomba telah turun ke laut untuk operasi mencari di permukaan air.
Sementara itu isteri Afandi, Noor Azura Abdul Aziz, 38, berharap suaminya dapat ditemui segera dengan selamat.
“Dah seminggu suami saya tak turun ke laut, malam semalam dia ada cakap nak ke laut kalau cuaca baik pagi ini…lepas subuh tadi dia keluar rumah tapi saya tak sempat berbual dengannya, hanya terdengar bunyi enjin motosikal je keluar rumah,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara setahun setengah dan 14 tahun.
Dua nelayan yang hanyut selepas bot karam pagi tadi di Kuala Dungun berjaya diselamatkan, operasi mencari seorang lagi diteruskan – Ketua Polis Dungun pic.twitter.com/jqCz2Ok4wj
— BERNAMA (@bernamadotcom) December 7, 2019
Sumber : Bernama