Kuala Lumpur – Setelah 27 tahun negara bebas wabak mudah berjangkit ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kes terbaru jangkitan virus polio di Sabah dalam satu kenyataannya semalam.
Menurut KKM, pesakit berkenaan merupakan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia yang berumur tiga bulan dan berasal dari Tuaran.
Mangsa yang mengalami demam dan lemah anggota badan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) pada 6 Disember 2019.
”Hasil ujian pengesahan yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia, virus tersebut mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di negara Filipina. Seterusnya, vaccine-derived poliovirus type 1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV 1).
“Pesakit kini masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan bantuan pernafasan.
“Circulating vaccine-derived poliovirus (cVDPV) berasal daripada virus polio yang telah dilemahkan di dalam vaksin polio yang diberi secara oral (Oral Polio Vaccine – OPV). Virus yang dilemahkan ini dikumuhkan oleh badan melalui najis.
“Dalam persekitaran yang tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan ia terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95%.

“Semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti tersebut, ia mengalami mutasi genetik hingga menjadi virus yang kembali aktif. Virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis.
“Namun begitu, untuk mereka yang telah divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, mereka akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit tersebut,” kata kenyataan tersebut.
Tambah KKM, virus ini tersebar dengan mudah dalam persekitaran yang tidak bersih serta komuniti dengan liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus.
“Sehingga 5 Disember 2019, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di Sabah ini mendapati 23 daripada 199 orang (11.6%) yang berumur di antara dua (2) bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.
“Ini satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVPDV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio,” tulis KKM.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran jika mempunyai gejala wabak berkenaan.
Hasil penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio, ibu bapa kesemua kanak-kanak tersebut telah bersetuju untuk mereka diberikan vaksin polio.
Kes polio terakhir dilaporkan berlaku pada 1992, manakala Malaysia diistiharkan bebas polio pada Oktober 2000 hasil program pencegahan melalui vaksin polio dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak tahun 1972 dan sehingga kini.
Tegas KKM lagi, bagi mencegah penyakit polio daripada berlaku, liputan imunisasi hendaklah sentiasa melebihi 95%.
Sumber: KKM