Siakap Keli

(Video) “Kalaulah Zaman Dulu Ada Vaksin” – Survival Pesakit Polio Yang Masih Dalam Rawatan

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita kemunculan semula wabak polio atau poliomielitis di Filipina setelah hampir 20 tahun penyakit itu berjaya dihapuskan di Asia Tenggara.

Wabak ini merupakan penyakit sebaran poliovirus yang amat mudah berjangkit melalui sentuhan dan air tercemar. Poliovirus boleh memasuki sistem saraf dan merosakkan saraf yang mengawal pergerakan otot lantas menyebabkan kecacatan pada tangan dan kaki serta mengakibatkan lumpuh.

Penyakit yang boleh membunuh ini juga boleh merosakkan fungsi paru-paru, membuatkan pesakit terpaksa dimasukkan ke dalam ‘iron lung’ seumur hidup.

Ia hanya boleh dicegah melalui vaksin dan penjagaan kebersihan kerana tiada ubatan khusus yang boleh merawat penyakit ini.

Namun disebabkan segelintir masyarakat Filipina yang menolak vaksin, wabak ini muncul kembali di negara tersebut dan pengamal-pengamal perubatan di Malaysia khuatir sekiranya ia muncul di negara kita yang menjadi tumpuan pelancong dari sana.

Menurut The Independent, wabak polio telah menyebabkan 15,000 kes lumpuh di Amerika Syarikat setiap tahun pada zaman 1950-an.

Bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, laman Penolong Pegawai Perubatan (PPP) telah berkongsi gambar para pesakit polio yang mengalami paralisis paru-paru akibat virus berkenaan, membuatkan mereka dikuarantin di dalam ‘paru-paru besi’.

Alat ini digunakan bagi membantu mengawal otot dada supaya pesakit dapat bernafas. Bayangkan, sepanjang hayat kena duduk dalam tu!

Pesakit polio yang dikumpulkan untuk kuarantin. (Kredit: Google)

Tahukah anda , gambar ini di ambil pada tahun 1950 yang di namakan dengan nama “Iron Lungs” atau Paru-Paru Besi di mana ia merupakan kaedah terbaik bagi pengasingan isolasi terhadap pesakit yang menghidap penyakit Polio daripada merebak ke orang lain.

Baru baru ini , negara Filipina telah mengejutkan dunia apabila terdapat satu kes pesakit positif penyakit polio setelah 20 tahun penyakit tersebut berjaya dibasmi oleh kerajaan Filipina.

Namun demikian, akibat terdapat segelintir masyarakat anti-vaksin di negara itu kes yang berjaya dibasmi 2 dekad itu kembali semula.

Bagi kami pengamal perubatan, perkara ini adalah amat merisaukan kerana di negara kita juga terdapat golongan anti vaksin yang mementing kan diri sendiri daripada nyawa anak mereka sendiri. Tambahan lagi , penularan boleh berlaku kerana Malaysia adalah negara tumpuan pelancong termasuk daripada Filipina.

Lebih mengerikan , Penyakit Polio ini tiada ubatan yang boleh merawatnya jika di masukan ke hospital, kecuali dengan Pengasingan Isolasi mungkin seperti di dalam gambar dan hanya rawatan simptomatik diberikan.

Penyakit polio hanya boleh di cegah melalui vaksinasi. Tiada ubatan untuk penyakit polio.

Bayi di dalam ‘iron lung’. Anti-vaksin, sanggupkah anda lihat anak sendiri begini? (Kredit: Rare Historical Photos)
Jururawat sedang membantu pesakit remaja. (Kredit: Google)

Justeru, kepada golongan anti-vaksin, berhentilah mempertahankan ego dan kebodohan sendiri. Mufti sendiri telahpun mewajibkan vaksin untuk kebaikan serta kemaslahatan diri, keluarga dan masyarakat. Siapalah kita nak lawan mufti dan pakar perubatan? Dah berapa ribu kitab kita hafal?

Bagi ibu bapa pula, pastikan anak anda mendapat keempat-empat dos vaksin polio secara percuma di bawah Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) pada usia 2, 3, 5 dan 18 bulan. Jadilah ibubapa yang bijak dan bertanggungjawab.

Jom tonton video pesakit polio terakhir di Amerika Syarikat yang hidup selama 64 tahun di dalam ‘Paru-paru Besi’. Kuat semangat beliau. Makan, minum dan menulis pun di dalam alat tersebut dengan bantuan orang lain.

Semoga kita semua dijauhkan dari segala wabak yang merosakkan diri.

Sumber: Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Immunise4Life, The Dallas Morning News, The Independent, Mufti Wilayah Persekutuan

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.