Siakap Keli

Wabak Polio Kembali Wujud di Filipina, Doktor Malaysia Mungkin Perlu Bongkar Muzium Untuk Alat Rawatan Wabak “Prasejarah”

Setelah 19 tahun negara-negara Asia Tenggara disahkan bebas polio oleh World Health Organization, saintis Filipina mengumumkan kewujudan kembali penyakit ini di negara tersebut.

Seorang kanak-kanak berusia 3 tahun dari Lanao del Sur telah disahkan dijangkiti penyakit berkenaan manakala seorang lagi pesakit paralisis flaksid akut disyaki menghidapi penyakit yang sama.

Polio merupakan satu penyakit bawaan virus yang sangat mudah berjangkit melalui sentuhan, perkongsian makanan ataupun bekalan air yang tercemar.

Penyakit ini boleh menyebabkan lemah otot, lumpuh dan adakalanya boleh membawa maut. Setakat ini, saintis belum menemui ubat untuk polio namun ia hanya boleh dihindari melalui vaksin khusus.

Secara umumnya, wabak ini telah berjaya dibasmi di setiap negara seluruh dunia kecuali Nigeria, Pakistan dan Afghanistan.

Menurut Setiausaha Kesihatan Filipina, Francisco Duque, kes tersebut mungkin berlaku disebabkan tahap imunisasi yang rendah, persekitaran kotor dan kurang pemantauan kesihatan.

Berikutan itu, kerajaan Filipina mengumumkan akan melancarkan kempen vaksinasi.

“Kami menyarankan pesakit, pekerja kesihatan dan kerajaan untuk menyertai dalam vaksinasi polio secara penuh,” kata Duque menegaskan vaksinasi merupakan satu-satunya jalan untuk menghentikan penyebaran wabak itu.

“Selain itu, kami ingin mengingatkan orang ramai agar menjaga kebersihan sebaiknya. Basuh tangan selalu, minum air yang bersih dan masak makanan dengan baik,” tambahnya.

Saintis menemui virus polio dalam sampel air kumbahan di Manila dan saluran air di Davao.

Menurut portal Medical News Today, polio telah membunuh ribuan manusia di secara global. Pada tahun 1916, lebih 6,000 orang maut kerana wabak ini di Amerika Syarikat.

Pada 1953, seorang penyelidik perubatan dan virologis, Jonas Salk telah membangunkan vaksin polio pertama bagi menghindari penyebaran wabak ini.

Disebabkan tiada ubat untuk merawat penyakit ini, rawatan yang diberikan hanyalah berfungsi untuk mengurus simptom dan mengelakkan komplikasi melalui antibiotik, ubat tahan sakit, ventilator dan penjagaan diet.

Sebahagian pesakit yang mengalami paralisis paru-paru terpaksa menggunakan ‘iron lung’, alat yang digunakan untuk mengawal otot dada bagi membantu paru-paru berfungsi.

Sebahagian pesakit polio menghabiskan hampir keseluruhan hidup dalam ‘iron lung’. (Gambar: Gizmodo)

Berita ini telah mendapat perhatian para pengamal perubatan di Malaysia.

Dr Nurilyani Bujang dalam satu kirimannya baru-baru ini secara berseloroh berkata, mereka mungkin terpaksa mencari semula peralatan perubatan yang telah lama dijadikan pameran di muzium untuk merawat penyakit berkenaan.

Katanya, alatan-alatan tersebut sudah lama tidak digunakan disebabkan Malaysia sudah pun merdeka daripada penyakit polio.

Sumber: New York Times, Medical News Today, Nurilyani Bujang

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.