Siakap Keli
ipoh white coffee terbaik
Kredit: Taste Atlas

Berada Di Kedudukan Ke-14, “Ipoh White Coffee” Disenarai Antara Kopi Terbaik Dunia

Berada Di Kedudukan Ke-14, “Ipoh White Coffee” Disenarai Antara Kopi Terbaik Dunia

Kopi merupakan salah satu minuman yang sering menjadi pilihan orang ramai, khususnya pada waktu pagi. Hal ini kerana, kandungan kafein di dalamnya dapat membantu manusia untuk merasa segar dan tidak mengantuk.

Maka, tidak hairanlah jika minuman ini sering dipilih sebagai minuman wajib ketika ingin melakukan sesuatu tugasan secara khusyuk.

Setiap budaya memiliki resepi kopi yang tersendiri, menjadikan pasaran minuman ini lebih dinamik dalam kalangan pengguna.

Siapa sangka, salah satu minuman yang menjadi minuman lazim di kedai kopitiam diiktiraf sebagai antara kopi yang terbaik di dunia.

Kopi putih Ipoh telah tersenarai pada kedudukan ke-14 dalam senarai kopi terbaik dunia yang dikeluarkan oleh Taste Atlas.

Dengan ini, kopi yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia ini boleh dikatakan sebaris dengan variasi kopi-kopi yang popular seperti cappuccino, espresso, machiato dan lain-lain.

Manakala, minuman kopi asal Greek, espresso freddo telah mendapat tempat pertama dengan meraih skor sebanyak 4.6 bintang dari lima bintang.

Diikuti pula dengan beberapa kopi lain seperti, Café Cubano (Cuba), kopi tapis India (India), freffo cappuccino (Greek) dan lain-lain.

Kebanyakan tangga teratas pula didominasi kopi-kopi dari Itali seperti cappuccino, ristretto, espresso, macchiato, caffe latte dan bicerin.

Untuk makluman, kopi putih Ipoh merupakan sejenis minuman yang berasal daripada ibu negeri Perak iaitu Ipoh. Sungguhpun namanya kopi ‘putih’ Ipoh, warna minuman ini tidaklah berwarna putih seperti yang tertera pada namanya.

Menurut Taste Atlas, nama tersebut sebenarnya berasal daripada teknik pemanggang, yang mana biji kopi akan dipanggang secara ringan sebelum dikisar dan dibru sebelum dihidangkan kepada orang ramai.

Asal usul gaya pemanggangan ini biasanya dikaitkan dengan golongan Cina Hainan, yang menjadi pelopor bagi kedai kopitiam di Malaysia.

Mereka berjaya mengadaptasi teknik klasik ini bagi menghasilkan minuman kopi yang tidak terlalu pekat dengan memiliki sedikit rasa karamel.

Kopi putih Ipoh biasanya ditambah dengan susu pekat manis dan sepatutnya memiliki sedikit buih di bahagian atasnya.

BACA: Tawar Gaji RM5,000, Pembuat Roti Canai Dicari Di Singapura

Sumber: Taste Atlas 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma