Siakap Keli
pecah kereta safiq rahim
Sumber: Sinar Harian

Polis Buru Suspek Pecah Cermin Kereta Safiq Rahim Guna Tukul

Polis Buru Suspek Pecah Cermin Kereta Safiq Rahim Guna Tukul

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim menjadi mangsa serangan terbaharu membabitkan pemain bola sepak kebangsaan apabila cermin keretanya dipecahkan dengan tukul.

Susulan itu, pihak polis kini sedang memburu suspek yang bertanggungjawab atas insiden itu yang berlaku di pusat latihan JDT di Jalan Sri Gelam, Johor Bahru pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang mengesan dan menangkap suspek yang terbabit. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan ringkas tengah malam Selasa.

Difahamkan, Safiq dihampiri oleh sebuah motosikal dinaiki oleh dua individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan kelab itu.

Ini dikongsikan sendiri oleh Safiq menerusi laman Instagramnya (@sportsrevobysafiqrahim) bersama salinan laporan polis yang dibuatnya selepas insiden terbabit.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, insiden dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 malam ketika pemain itu memandu kenderaannya setelah usai mengambil barang di pusat latihan JDT.

“Secara tiba-tiba datang sebuah motosikal dinaiki dua lelaki dan salah seorang pembonceng itu mengeluarkan tukul mengetuk cermin belakang kereta.

“Ketukan itu membuatkan saya terkejut dan memberhentikan kereta manakala kedua-dua lelaki itu berhenti di hadapan sambil menunjukkan tukul ke arah saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, insiden terbaharu semalam nyata membimbangkan selepas insiden samun pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid dan insiden simbahan asid pemain Selangor FC, Faisal Halim.

BACA: Safiq Rahim Pula Diserang, Cermin Kereta Dipecahkan Dua Lelaki

Sumber: Sinar Harian, Safiq Rahim

Sharifah Hannah Adibah