Siakap Keli
safiq rahim diserang
Kredit: Bernama & Insatagram

Safiq Rahim Pula Diserang, Cermin Kereta Dipecahkan Dua Lelaki 

Safiq Rahim Pula Diserang, Cermin Kereta Dipecahkan Dua Lelaki 

Cermin belakang kereta milik pemain pasukan bola Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim telah dipecahkan oleh dua individu yang tidak dikenali pada Selasa.

Safiq Rahim telah memaklumkan kejadian yang menimpa dirinya menerusi laman Instagram miliknya (sportsrevobysafiqrahim).

Menerusi hantaran terbabit, beliau telah memuat naik gambar yang memaparkan keadaan cermin belakang kereta Honda City miliknya pecah.

Selain itu, beliau turut memuat naik laporan polis berkenaan kejadian yang berlaku sekitar 10.05 malam tadi, di Balai Polis Larkin, Johor Bahru.

Berdasarkan gambar, cermin keretanya pecah dipercayai berpunca daripada kesan pukulan objek keras.

Dalam laporan kepada pihak polis, Safiq berkata ketika insiden tersebut berlaku, beliau baru sahaja mengambil barang berdekatan dengan Pusat Latihan JDT di Sri Gelam, Johor Bahru.

Beliau yang sedang dalam perjalanan dari pusat latihan terbabit ke Pantai Lido ketika itu didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

“Salah seorang pembonceng motosikal tersebut mengeluarkan sebatang tukul besi lalu mengetuk cermin bahagian belakang kereta saya.

“Ketukan tersebut telah membuatkan saya terkejut dan memberhentikan kereta saya,” jelas Safiq menerusi laporan polis yang dibuatnya.

Semasa beliau memberhentikan kereta, kedua-dua lelaki tersebut dilaporkan turut berhenti sambil menunjukkan tukul besi ke arahnya.

“Akibat takut, saya pun mengundurkan kereta dan kedua-dua lelaki terbabit turut beredar daripada lokasi tersebut,” katanya.

Menerusi tulisannya di ruangan kapsyen, Safiq tidak menyangka bahawa dirinya menjadi mangsa dalam serangan itu.

“Tak sangka saya pula kena attack (serang) berdekatan Pusat Latihan JDT. Zaman kami kena berjaga-jaga,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Dalam laporan polis yang sama, Safiq menyatakan sebab-sebab lain mengapa beliau memilih untuk memfailkan laporan polis.

Selain berdepan dengan kerosakan yang berpunca daripada tindakan tidak bermoral, bekas kapten skuad Harimau Malaya itu turut menyatakan kebimbangan pada masa yang akan datang.

https://www.instagram.com/p/C6rEixoy6HF/?img_index=1

Sebelum ini terdapat beberapa kes-kes yang melibatkan pemain-pemain bola profesional di Malaysia, yang mana memberikan kebimbangan kepada ramai pihak.

Terdahulu, pemain JDT yang kini menjadi pemain pinjaman kepada Terengganu FC, Akhyar Rashid dilaporkan telah cedera akibat disamun ketika beliau berada di sekitar Kuala Terengganu pada 3 Mei lepas.

Tidak lama selepas itu, pemain Selangor FC, Faisal Halim pula dilaporkan cedera parah selepas disimbah asid sulfurik pekat ketika berada di pasar raya, dekat Kota Damansara pada 5 Mei lalu.

BACA: Faisal Halim Kirim Salam Pada Rakan-Rakan, Mohon Doa Dari Rakyat Malaysia

Sumber: sportsrevobysafiqrahim via Instagram

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma