Siakap Keli
sheriff hadiah bermakna yusof
Kredit: Bernama

Kejayaan Filem ‘Sheriff: Narko Integriti’ Hadiah Hari Jadi Bermakna Buat Yusof Haslam

Kejayaan Filem ‘Sheriff: Narko Integriti’ Hadiah Hari Jadi Bermakna Buat Yusof Haslam

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) — Produser filem terkenal negara Datuk Yusof Haslam menyifatkan kejayaan filem aksi Sheriff: Narko Integriti di pawagam tempatan dan Singapura sebagai hadiah paling bermakna untuk ulang tahun kelahirannya ke-70 pada Rabu lepas.

Beliau yang juga Pengerusi Skop Productions Sdn Bhd serta Penerbit Eksekutif Bersama filem itu berkata karya arahan Syafiq Yusof itu telah merekodkan kutipan berjumlah RM24 juta sejak ditayangkan bermula 18 April lepas hingga semalam.

“Apatah lagi dengan keadaan ekonomi kurang baik ini, saya agak waswas jugalah tetapi dengan izin Allah, filem ini mendapat kutipan memberangsangkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Yusof berkata beliau tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah kutipan filem itu namun berharap ia akan menarik lebih ramai penonton ke pawagam.

“Nak kata saya jangkakan (jumlah kutipan tertentu) tidak juga, tetapi kalau kita tengok momentum filem ini dari hari ke hari dan daripada netizen bercakap di media sosial, kita boleh cakap ada keyakinanlah tetapi kita tak tahu sejauh mana (kutipan),” katanya.

Menurutnya filem itu yang memaparkan sifat keterbukaan dan isu tabu menjadi antara tarikan dinantikan penonton.

Pada masa sama katanya filem yang menelan kos hampir RM6.7 juta itu dijangka menembusi pasaran Indonesia pada hujung Mei ini.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati filem berkenaan mendapat komentar positif di laman X, dengan @shahrilishakkkk menyifatkan filem Sheriff setaraf filem antarabangsa.

“Sheriff Narko Integriti ni memang filem yang WAJIB TONTON. Memang citer Melayu level-level international punya” (cerita Melayu taraf antarabangsa).

Sementara @dnykmrzmxn melahirkan rasa teruja dengan jalan cerita ditonjolkan filem itu dan memberikan rating 8/10.

Filem dibintangi Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan mengisahkan anggota polis dari Jabatan Integriti iaitu Sheriff bergandingan dengan Nazri, seorang anggota polis muda dari Jabatan Narkotik untuk menumpaskan sindiket dadah.

BACA: Tawar Gaji RM5,000, Pembuat Roti Canai Dicari Di Singapura

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma