Siakap Keli
Gambar: Bernama

Prestasi Kontinjen Malaysia Pada Sukan SEA 2019 ‘Terburuk’

MANILA, 12 Dis (Bernama) — Kontinjen Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA ke-30 di Filipina dengan prestasi memalukan apabila sekadar mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa, jauh tersasar daripada sasaran 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa.

Prestasi buruk itu tidak selari dengan 339 pegawai dan 773 atlet  yang dihantar bertanding dalam 52 daripada 56 acara selepas hanya menduduki tangga kelima keseluruhan berbanding sasaran tempat keempat.

Sasaran 70 pingat emas itu, sekiranya dicapai, akan menjadi  pencapaian terbaik kontinjen negara di luar Kuala Lumpur, tetapi kontinjen negara mencatatkan prestasi terburuk pada temasya itu.

Kutipan pingat yang dilakar pada Sukan SEA kali ini jauh ketinggalan daripada pencapaian 68 emas, 52 perak dan 96 gangsa yang diraih kontinjen Malaysia pada edisi 2007 di Korat, Thailand yang disertai seramai 428 atlet dan 294 pegawai yang masih

Pencapaian di Filipina pada kali ini merupakan antara pencapaian terburuk kontinjen Malaysia selepas tiga edisi terdahulu — 2003 di Vietnam (40 emas), 2009 di Laos (40 emas) dan pada edisi 2013 di Myanmar yang menyaksikan Malaysia sekadar mengutip 43 emas.

Temasya sukan dwitahunan itu yang bermula 24 Nov lepas melabuhkan tirai di Stadium Olahraga New Clark City, malam tadi. Sepanjang temasya itu, pertandingan diadakan di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic.

Tuan rumah, Filipina muncul juara keseluruhan Sukan SEA buat kali kedua dengan kutipan 149 emas, 117 perak dan 121 gangsa, disusuli Vietnam (98-85-105), manakala Thailand menamatkan saingan di tempat ketiga menerusi kutipan 92 emas, 103 perak dan 123 gangsa.

Pelbagai faktor seperti taufan kammuri yang menjejaskan tumpuan atlet, tiga lokasi sukan yang berbeza, selain perubahan jadual pertandingan yang diberikan oleh Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin pada sidang media, semalam  tidak harus dijadikan sebagai alasan konkrit untuk menutup kegagalan berkenaan kerana 10 negara lain yang bertanding, termasuk tuan rumah Filipina turut menghadapi masalah sama.

Permohonan maaf yang diluahkan oleh Megat Zulkarnain pada sidang media berkenaan, jelas tidak dapat mengubat kekecewaan rakyat Malaysia yang ingin menyaksikan atlet negara mempamerkan aksi lebih baik selepas muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Perbelanjaan besar yang dikeluarkan oleh kerajaan seolah-olah dibazirkan begitu sahaja kerana kegagalan tersebut boleh disifatkan sebagai antara yang terburuk dalam sejarah penyertaan Sukan SEA kontinjen Malaysia sejak.

Hal berkenaan diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang mendedahkan bahawa badan induk sukan negara itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan pada kali ini.

Paling memalukan adalah kekalahan mengejut 1-3 yang dialami skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara kepada pasukan kerdil, Kemboja pada aksi pusingan awal yang  merupakan detik hitam dalam sejarah bola sepak negara memandangkan negara berkenaan tidak mempunyai fasliti bola sepak yang lebih baik berbanding Malaysia.

Dari segi prestasi atlet, jelas menunjukkan bahawa beberapa atlet negara yang telah mencapai taraf antarabangsa seperti pemanah Olimpik negara, Khairul Anuar Mohamad dan perenang elit negara, Welson Sim, gagal mempamerkan prestasi membanggakan di kala kontinjen negara mengharapkan mereka untuk menghadirkan kilauan emas pada kali ini.

Kempen Sukan SEA 2019 menyaksikan hanya 23 daripada 26 sukan yang disasarkan, dapat menyumbang kepada kutipan emas kontinjen Malaysia, sekaligus menyaksikan Malaysia terlepas 25 pingat emas.

Daripada 26 jenis sukan yang disasarkan untuk kutipan emas, 18 jenis sukan telah menyumbang kutipan 50 emas, sekaligus menggambarkan beberapa sukan teras gagal mencatatkan pencapaian sebagaimana yang diharapkan.

Antara sukan yang boleh dikategorikan sebagai gagal adalah pelayaran, tenpin boling, memanah, luncur ais, dan sukan berhalangan yang gagal menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat emas.

Beberapa sukan,bagaimanapun, mempamerkan aksi cemerlang, bermula dengan gimnastik artistik dan berirama yang menyumbang sembilan emas, olahraga (lima emas), serta masing-masing empat emas dalam acara terjun, karate dan boling padang, selain badminton yang menyumbang tiga emas.

Pujian wajar diberikan beberapa sukan-sukan kurang dikenali yang telah menyelamatkan maruah kontinjen Malaysia apabila menyumbang sekurang-kurangnya satu emas, iaitu papan selaju, catur, dancesport, snuker dan billiard, selain wushu yang menyumbang dua emas walaupun tidak diletakkan sasaran kutipan emas.

Dalam pada itu, beberapa atlet negara telah mencipta kejutan, selain terus mengekalkan prestasi cemerlang mereka di rantau Asia Tenggara, termasuk pelari pecut muda, Muhammad Haiqal Hanafi yang mengekalkan status Malaysia sebagai Raja Pecut Asia Tenggara selepas mengungguli acara 100 meter dengan catatan 10.35 saat, selain ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi yang mengaut tiga emas.

Atlet olahraga, Andre Anura Anuar turut mempamerkan aksi luar biasa selepas melakar rekod baharu kebangsaan dalam acara lompat jauh, iaitu 8.02, sekaligus memadam rekod terdahulu, 7.88 meter yang dilakukan Josbert Tinus pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand 2007, selain perenang elit, Phee Jinq En yang memperbaharui rekod kebangsaan dan  Sukan SEA dalam acara 100 meter dengan catatan 1 minit 08.50 saat, berbanding rekod terdahulu 1 minit 09 saat yang dilakar pada 2017.

Kesimpulannya, prestasi buruk yang dipamerkan kontinjen negara pada kali memberi petanda jelas bahawa masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan kesemua pihak berkepentingan dalam sukan negara seperti Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia harus berganding bahu dalam mencari penyelesaian terbaik dalam mengekang kemerosotan pada kali ini.

Kemunculan Vietnam selaku antara kuasa baharu sukan di rantau ini, terutamanya dalam sukan renang dan olahraga, harus dipandang serius oleh semua pihak berkepentingan sukan negara memandangkan bekas negara komunis itu bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2021.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right