Siakap Keli

(Video) UNESCO Masukkan Silat Dalam Senarai ”Intangible Heritage”, Ucap Tahniah Kepada Malaysia

Seni mempertahankan diri Silat yang begitu terkenal di rantau nusantara telah berjaya disenaraikan di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan tersebut telah diberikan pada persidangan mesyuarat sesi ke-14 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang berlangsung di Bogota, Colombia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi menyatakan bahawa, perkara tersebut telah disahkan sendiri oleh badan dunia yang dianggotai oleh 24 ahli jawatankuasa mewakili anggota-anggota daripada negara yang dipilih untuk mengisi kerusi jawatankuasa itu.

“Penyenaraian di peringkat UNESCO merupakan pengiktirafan bertaraf dunia ke atas satu daripada khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara.

“Penyenaraian ini juga akan memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan dunia dan secara tidak langsung akan mendapat perhatian pelbagai pihak dan dunia,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Dengan bantuan serta kerjasama yang baik daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, segala maklumat dan dokumen berkaitan telah berjaya dikumpul dan dihantar kepada UNESCO di Paris pada 30 Mac tahun lepas.

Menurutnya, semasa persidangan sesi ke-3 jawatankuasa UNESCO berlansung di Istanbul, Turki pada tahun 2008 lalu, Malaysia telah mendapat pencalonan dunia kali pertama menerusi seni warisan ‘Mak Yong’ dalam kategori Masterpieces of the Oral and Intangible Cultural Heritage of Humanity (Originally Proclaimed 2005).

Kejayaan seterusnya muncul pada sesi persidangan ke-13 di Port Louis, Mauritius pada tahun 2018 apabila Malaysia telah mendapat pengiktirafan kali kedua dari badan dunia itu menerusi seni warisan ‘Dondang Sayang’ dalam kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity.

Kini, seni mempertahankan diri silat pula telah mendapat pengiktirafan, dan ianya juga amat bermakna buat Malaysia. Pengiktirafan tesebut sekali gus dapat mengukuhkan hubungan jaringan dengan kebanyakan negara anggota yang secara langsung akan membantu memudahkan Malaysia mengangkat lebih banyak pencalonan warisan kebudayaan tidak ketara pada masa akan datang.

Sumber: Bernama

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.