Siakap Keli

Mahu Setaraf Harimau Malaya, ‘Harimau Kudung’ Tanam Impian Ke Piala Dunia

Seperti yang kita tahu, Harimau Malaya merupakan pasukan bola sepak negara yang sentiasa menjadi kebanggaan kerana pencapaian mereka dalam mengharumkan nama Malaysia.

Selain Harimau Malaya, nama ‘Harimau Kudung’ mula menjadi buah mulut rata-rata netizen apabila kumpulan ini melibatkan pemain-pemain kurang upaya dengan kredibiliti bermain bola sepak dengan hanya satu kaki.

Ditubuhkan melalui Malaysian Amputee Football Association (MAFA), Harimau Kudung bakal beraksi dalam saingan bola sepak kudung dalam Kejohanan Enam Negara Piala Jemputan MAFA 2020.

Pasukan bola sepak kudung ini dikatakan sedang melakukan jelajah serta perlawanan persahabatan bagi melengkapkan persediaan ke kejohanan itu.

Selain untuk tujuan tersebut, mereka juga sedang giat melancarkan Projek Tongkat yang merupakan inisiatif kesedaran mengenai sukan bola sepak kudung dalam menyatukan semua pemain dan penyokong dari seluruh pelusuk dunia termasuk mereka yang berada di zon konflik serta memberi motivasi kepada  Orang Kelainan Upaya (OKU) kudung sebelah kaki atau tangan untuk terlibat dalam bola sepak.

Melalui laman Twitter Projek Tongkat, salah satu misi mereka juga adalah untuk membawa Pasukan Bola Sepak Kudung Salam dari Gaza ke Malaysia pada Februari 2020 sesuai dengan usaha mereka untuk menyatakan solidariti kepada Palestin melalui sukan bola sepak kudung.

Baru-baru ini, mereka telah melakukan perlawanan persahabatan IMARET Goodwills yang dibarisi artis dan selebriti tempatan seperti Altimet, Awi Rafael dan Ruffedge. Mereka berpeluang untuk merasai bagaimana bermain bola sepak menggunakan tongkat.

Satu video yang dimuatnaik oleh Projek tongkat sebelum perlawanan tersebut menyentuh hati apabila jurulatih pasukan Harimau Kudung, Sunny, memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada pasukan tersebut.

Saya taknak orang kesiankan kita, saya nak orang sokong kita, sokong melalui apa? #ProjekTongkat.

Sumber: Projek Tongkat

Sofea

There's always another side to every story

Nur Farra